EXCO: Negeri pertimbang lanjut skim sewa beli rumah hingga lapan tahun

22 Nov 2026, 2:00 AM
EXCO: Negeri pertimbang lanjut skim sewa beli rumah hingga lapan tahun
EXCO: Negeri pertimbang lanjut skim sewa beli rumah hingga lapan tahun
EXCO: Negeri pertimbang lanjut skim sewa beli rumah hingga lapan tahun
EXCO: Negeri pertimbang lanjut skim sewa beli rumah hingga lapan tahun

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Selangor mempertimbang melanjutkan tempoh Skim Sewa Beli Rumah daripada lima kepada lapan tahun bagi membantu penyewa yang masih belum layak mendapatkan pembiayaan memiliki kediaman sendiri.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata skim itu khususnya membantu pasangan baru berkahwin yang belum mempunyai pendapatan mencukupi untuk membeli rumah.

“Jika selepas lima tahun mereka masih belum layak, mereka boleh memohon lanjutan, mungkin sehingga lapan tahun. Kita tiada masalah dengan perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2026 di pusat beli-belah Central i-City, Seksyen 7, semalam.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah ditemui media pada Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Selangor 2026 di Central I-City Shah Alam pada 21 November 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/‘MEDIASELANGOR

Menurut Borhan, hampir 2,000 unit kediaman disediakan menerusi skim berkenaan dengan Kerajaan Negeri turut membantu penyewa mendapatkan pembiayaan mengikut kelayakan masing-masing.

Jelasnya, 30 peratus daripada bayaran sewa dipulangkan kepada penyewa sebagai bantuan untuk membeli rumah pertama, manakala kadar sewa ditetapkan sekitar RM800 hingga RM900 sebulan termasuk caj penyelenggaraan.

“Kadar sewa biasa melebihi RM1,000. Ini konsep yang sangat baik. Selepas lima tahun, mereka dijangka membeli rumah dan unit yang disewa boleh ditawarkan kepada orang lain,” katanya.

Sementara itu, Borhan berkata program Rumah Selangorku 2027 akan memberi keutamaan kepada pemohon yang belum memiliki rumah, khususnya pasangan baru berkahwin, selain mempertimbang penduduk setempat yang tinggal berhampiran lokasi projek perumahan.

“Syarat pertama, mereka mesti belum mempunyai rumah. Ini rumah pertama mereka dan mereka baru berkahwin,” katanya sambil memaklumkan pemohon yang mahu mendapatkan pertimbangan keutamaan berdasarkan tempat tinggal boleh berurusan dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Beliau turut menggalakkan pemohon memilih kediaman berhampiran tempat kerja bagi mengelakkan tambahan beban kewangan serta perjalanan harian yang jauh.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.