SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Negeri menegaskan pembangunan perumahan di Selangor perlu mengutamakan kualiti dan keselesaan penduduk, bukan sekadar mengejar jumlah unit dibina bagi memenuhi sasaran 200,000 rumah menjelang 2028.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata, pembinaan rumah dalam jumlah besar tanpa memastikan kualitinya boleh menimbulkan pelbagai masalah kepada penghuni dalam jangka panjang.
“Kita bukan hanya melihat kuantiti tetapi kualiti. Kalau kita hanya fokus kepada kuantiti, walaupun mencapai sasaran 200,000 unit menjelang 2028, tetapi kualiti rumah tidak memuaskan, perkara ini juga akan menimbulkan masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2026 di pusat beli-belah Central i-City, di sini semalam.

Menurut Borhan, Kerajaan Negeri mahu dasar perumahan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat merangkumi aspek penyewaan, pemilikan, pengurusan dan penyelenggaraan bagi memastikan kesejahteraan penghuni terus terpelihara.
“Matlamat kita bukan semata-mata menjual rumah. Kita juga mahu membantu penduduk dan memastikan kualiti hidup mereka,” katanya sambil menjelaskan permintaan terhadap kediaman semakin tinggi susulan jumlah penduduk Selangor melebihi lapan juta orang.
Mengulas projek perumahan bermasalah, beliau memaklumkan hanya tiga hingga empat projek kini berada dalam pemantauan rapi, termasuk sebuah projek di Salak Maju, Sepang membabitkan lebih 200 unit yang sedang menunggu Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) selepas menunjukkan kemajuan hasil kerjasama pelbagai pihak.
Sementara itu, Borhan berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan infrastruktur perumahan, selain berharap memperoleh peruntukan tahun depan untuk melaksanakan kerja berkaitan membabitkan kira-kira 30 projek.
Beliau turut menggesa pemaju, pihak berkuasa tempatan, institusi kewangan dan pemegang taruh memperkukuh kerjasama bagi memastikan pelaksanaan inisiatif perumahan berjalan lancar serta peluang memiliki kediaman sampai kepada golongan sasaran, bukan tertumpu kepada pembeli berpendapatan tinggi.
Pada masa sama, Borhan menasihatkan bakal pembeli supaya meneliti lokasi, kemudahan dan kesahihan projek sebelum membuat keputusan, selain mengingatkan mereka agar tidak mudah terperdaya dengan promosi hartanah.











