BAIK Selangor 2027 tawar bantuan baik pulih rumah hingga RM10,000

19 Nov 2026, 12:30 PM
BAIK Selangor 2027 tawar bantuan baik pulih rumah hingga RM10,000

SHAH ALAM, 19 NOV: Bantuan Asas dan Ihsan Kediaman (BAIK Selangor) yang akan diperkenalkan tahun depan memberi tumpuan kepada dua kategori kerosakan, iaitu komponen asas dan ruang kediaman.

EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata kategori komponen asas melibatkan kerja membaik pulih bumbung atau atap bocor, lantai, pintu, tingkap, pendawaian elektrik dan sistem paip.

Sementara itu, kategori ruang kediaman merangkumi pembaikan bilik tidur, ruang tamu, dapur dan bilik air yang mengalami kerosakan sehingga menjejaskan keselamatan serta keselesaan penghuni.

“Setiap rumah dicadangkan menerima bantuan baik pulih dengan anggaran

kos antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada tahap kerosakan, keperluan pembaikan dan hasil penilaian teknikal.

“Dari segi mekanisme pelaksanaan, program ini akan diselaras Yayasan Mesra Selangor (YMS) dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Borhan berkata program terbabit meliputi kawasan bandar dan luar bandar di semua

56 kawasan Dewan Negeri (DUN), dengan pelaksanaan secara bersasar melalui Pusat Khidmat Masyarakat DUN atau Pejabat Penyelaras DUN masing-masing.

“Pihak ini akan berperanan mengenal pasti dan mengemukakan permohonan bagi penerima yang layak. Permohonan akan melalui proses semakan kelayakan, lawatan tapak serta penilaian skop dan kos pembaikan sebelum dipertimbangkan untuk kelulusan,” katanya.

Beliau berkata bantuan terbabit menggalakkan sumbangan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri, sektor korporat serta pihak lain bagi menyokong pelaksanaan program ini.

“Kerajaan Negeri menyeru seluruh agensi kerajaan, sektor swasta untuk berganding bahu melalui sumbangan dan kerjasama strategik bagi menjayakan inisiatif ini, sekali gus memperluas manfaat bantuan kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027, Amirudin berkata pendekatan mencerminkan komitmen negeri untuk membangunkan ekosistem perumahan secara menyeluruh itu melibatkan anggaran keperluan dana mencecah RM10 juta.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.