SHAH ALAM, 18 NOV: Peluasan Skim Selangorku To Ownership (S2-OWN) ke kawasan lain bergantung kepada kejayaan pelaksanaan projek perintis yang kini melibatkan 44 unit kediaman di Pangsapuri Rima Riang, PJS 1, Petaling Jaya.
EXCO Perumahan, Datuk Borhan Aman Shah berkata projek berkonsepkan sewa untuk milik itu memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40), khususnya yang memerlukan kediaman di kawasan bandar, untuk memiliki rumah sendiri.
“Kita mahu memastikan golongan B40 turut berpeluang memiliki rumah. Kita berharap mereka yang layak dapat mendisiplinkan diri dalam membuat bayaran kerana matlamat akhirnya adalah supaya rumah yang dibayar itu menjadi hak milik mereka.
“Kita juga berharap pelaksanaan ini dapat menjadi contoh untuk diperluas ke kawasan lain,” katanya ketika ditemui Media Selangor, hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu turut memberi perhatian kepada golongan yang baru berhasrat memiliki rumah, mereka yang sudah berkeluarga serta individu tanpa slip gaji tetap.
Sebanyak 44 unit kediaman di Pangsapuri Rima Riang ditawarkan pada harga RM42,000 seunit menerusi projek perintis berkenaan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2027 mengumumkan penambahan 200 unit kediaman baharu Skim Smart Sewa dengan peruntukan RM62.1 juta bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pelaksanaan S2-OWN sebagai langkah melengkapkan ekosistem akses perumahan di Selangor secara berperingkat.







