Selangor sedia bantuan khusus kepada wartawan terjejas operasi

21 Nov 2026, 1:58 PM
Selangor sedia bantuan khusus kepada wartawan terjejas operasi
Selangor sedia bantuan khusus kepada wartawan terjejas operasi

GOMBAK, 21 NOV: Kerajaan Negeri merancang menyediakan bantuan khusus kepada wartawan yang terjejas akibat pengecilan operasi syarikat penerbitan susulan cabaran ekonomi dalam industri media.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mengenal pasti wartawan terlibat bagi memastikan bantuan bersesuaian dapat disalurkan menerusi inisiatif yang dirancang pada 10 Disember ini.

Menurutnya, usaha berkenaan turut merangkumi kelompok masyarakat lain yang kehilangan pekerjaan atau berdepan pengurangan operasi syarikat tanpa mengira peringkat umur, khususnya golongan produktif berusia 40-an dan ke bawah.

"Kita akan mengenal pasti syarikat dan kelompok masyarakat yang berdepan cabaran.

"Bagi sektor kewartawanan, kita juga akan menyediakan bantuan khusus pada 10 Disember ini kepada wartawan yang terkesan susulan pengecilan operasi beberapa syarikat penerbitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program ‘Transisi Kerjaya’ PLATS MBI di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Hazwani Sabudin berkata, orang ramai khususnya wartawan yang terjejas serta individu yang memerlukan pendapatan tambahan digalakkan menghadiri program berkenaan.

Beliau berkata, program yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA itu bertujuan memberi pendedahan mengenai peluang menjana pendapatan menerusi inisiatif keusahawanan di bawah PLATS.

“Kita mengharapkan bukan sahaja wartawan, orang ramai atau mereka yang kehilangan pekerjaan, malah individu yang memerlukan pendapatan tambahan juga dijemput hadir pada 10 Disember di Pusat Konvensyen MBSA untuk mendapatkan maklumat mengenai Transisi Kejayaan,” jelasnya.

Sebelum ini media melaporkan, kira-kira 100 kakitangan termasuk wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! dilaporkan terlibat dalam langkah rasionalisasi Media Mulia Sdn Bhd menerusi Program Cuti Berbayar selama tiga bulan, susulan penstrukturan semula operasi syarikat bagi memberi tumpuan kepada platform digital.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.