AI bantu tingkat produktiviti, bukan ganti kreativiti dan nilai insan

29 Jun 2026, 3:00 AM
AI bantu tingkat produktiviti, bukan ganti kreativiti dan nilai insan

KUALA LUMPUR, 29 JUN: Kecerdasan buatan (AI) berperanan sebagai pembantu untuk meningkatkan produktiviti, bukannya menggantikan kreativiti, keaslian dan nilai yang lahir daripada hasil kerja manusia.

Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata AI perlu dilihat daripada sudut peluang dan risiko kerana teknologi itu mampu mempercepatkan proses penghasilan kandungan, namun tidak dapat menandingi nilai kemanusiaan yang terkandung dalam karya asli.

Menurutnya, AI menghasilkan sesuatu yang terlalu sempurna sehingga menghilangkan nilai estetik yang terhasil daripada emosi manusia.

"Fotografi ialah refleksi manusia yang tidak sempurna. Apabila kita merakam sesuatu momen, ia menjadi saksi sejarah yang tidak akan berulang. Itu tidak dapat digambarkan oleh AI," katanya ketika ditemui pada Pameran ‘TERHUBUNG’ di Muzium Telekomunikasi Negara, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail.

Beliau berkata penggunaan AI turut menimbulkan pelbagai isu termasuk berkaitan hak cipta, justeru garis panduan dan peraturan perlu diwujudkan bagi mengelakkan implikasi negatif pada masa depan.

"Selain itu, kita juga sedang merangka garis panduan penggunaan AI dalam dunia penyiaran bagi memastikan keseimbangan antara pemanfaatan teknologi dengan pemeliharaan nilai insan dalam penghasilan kandungan,” katanya.

Beliau turut menegaskan profesion wartawan tidak akan digantikan oleh AI kerana tugas merakam sesuatu peristiwa memerlukan kehadiran di lokasi kejadian.

"Untuk merakam sesuatu, kita perlu berada di situ. Itulah tugas wartawan. Wartawan tidak akan diganti oleh AI, tetapi wartawan mungkin diganti oleh wartawan lain yang mahir menggunakan AI," katanya.

Seth Akmal

Sementara itu, wartawan Seth Akmal mengakui AI sedikit sebanyak mengganggu industri kreatif kerana dianggap sebagai jalan pintas menghasilkan karya, namun percaya teknologi itu sekadar trend dan bukannya ancaman kepada profesion fotografi.

Katanya, pemain industri perlu memahami cara memanfaatkan AI tanpa mengorbankan identiti dan keunikan hasil kerja masing-masing.

"AI bukan ancaman, cuma sedikit gangguan. Ia hanya sesuai digunakan dalam aspek kreatif yang terhad. Sebagai contoh, liputan di kawasan konflik tidak boleh dihasilkan hanya melalui arahan kepada AI. Akhirnya jurugambar tetap perlu berada di lokasi," katanya.

Beliau berkata imej fotografi asli mempunyai 'jiwa', komposisi dan elemen teknikal yang sukar ditiru AI, walaupun mengakui semakin banyak media arus perdana menggunakan visual janaan AI kerana faktor kepantasan serta isu hak cipta.

"Ia bukan soal mengapa AI digunakan, tetapi bagaimana kita mempersembahkan laporan kepada masyarakat," katanya.

Kurator Kongsi Hub, Syaiful Redzuan Md Noor.

Dalam pada itu, Kurator Kongsi Hub Syaiful Redzuan Md Noor berkata AI boleh dimanfaatkan sebagai teknologi sokongan, namun tidak mampu menghasilkan 'jiwa' yang terdapat pada visual sebenar.

Beliau berkata masyarakat juga perlu meningkatkan literasi digital supaya mampu membezakan visual asli daripada imej janaan AI, selain memahami cerita di sebalik setiap karya fotografi.

"Pada mulanya saya sendiri berasa terancam. Namun apabila mendekati AI, saya sedar kita perlu saling melengkapi. AI banyak membantu, termasuk dalam penyelidikan dan semakan fakta.

"Tetapi sebagai pengamal media dan jurugambar, saya tetap menolak penggunaan AI dalam laporan berita," katanya.

Syaiful berkata pengamal media dan jurugambar perlu terus mendapatkan visual sebenar kerana imej asli mempunyai nilai dokumentasi, kredibiliti dan nilai sejarah yang tidak mampu digantikan oleh AI.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.