Ejen AI boleh jadi pembantu peribadi wartawan, tiada asas ganti tugas

15 Sep 2026, 2:42 AM
Ejen AI boleh jadi pembantu peribadi wartawan, tiada asas ganti tugas

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Kemunculan ejen kecerdasan buatan (AI) dilihat dapat membantu khususnya wartawan yang membuat liputan dalam bidang tertentu seperti kewangan, politik, kebudayaan dan hiburan.

Profesor di School of Media and Communication Shenzhen University, Yu Xin, berkata pada masa hadapan ejen AI berpotensi menyediakan bantuan yang lebih peribadi dan cekap kepada setiap wartawan.

Yu berkata AI seharusnya dilihat sebagai alat yang boleh membantu wartawan mendapatkan, memproses dan menganalisis maklumat dengan lebih cekap sebelum mengadakan temu bual, membuat liputan dan ulasan.

"AI kini berkeupayaan dalam menghimpunkan, menyusun dan memproses maklumat, selain membantu dalam penyampaian kandungan, namun bidang kewartawanan bukan sekadar mendapatkan maklumat.

“Dalam konteks itu, AI bukan sekadar cabaran kepada kewartawanan. Ia boleh menjadi satu bentuk bantuan dan peluang kepada industri ini,” katanya.

Yu berkata kebimbangan bahawa AI akan mengambil alih tugas wartawan adalah tidak berasas.

Beliau berkata setiap revolusi teknologi telah mengubah landskap kewartawanan, daripada percetakan dan penyiaran kepada Internet, tanpa menghapuskan profesion itu.

"AI ialah satu lagi peralihan teknologi penting, dengan antara kesan utamanya mengurangkan halangan teknikal," katanya.

Berbeza dengan sistem komputer sebelum ini, yang memerlukan pengguna memahami bahasa pengaturcaraan, sebaliknya AI membolehkan pengguna berinteraksi dengan teknologi menggunakan bahasa harian.

Beliau berkata wartawan perlu menyesuaikan diri dengan AI sebagai sebahagian daripada transformasi industri yang lebih menyeluruh, dan bukannya melihatnya semata-mata sebagai ancaman terhadap pekerjaan.

“Perkara paling asas dalam kewartawanan dan tugas seorang wartawan ialah temu bual dan membuat liputan di lapangan. Tugas ini tidak boleh digantikan oleh AI,” katanya.

Yu berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertemakan "Civilisational Exchange, Mutual Learning and Asia-Pacific Communication Narratives" pada Program Perkongsian Media Asia-Pasifik selama tiga hari di Shenzhen, China, anjuran Agensi Berita Xinhua baru-baru ini.

Program itu menghimpunkan 27 pengamal media dari seluruh Asia-Pasifik bagi mengikuti siri syarahan, lawatan ke perusahaan dan pertukaran profesional, yang menumpukan kepada bagaimana teknologi pintar dan digital membantu meningkatkan komunikasi antarabangsa dalam konteks Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.