Seorang Sasterawan, Wartawan dan Sebilah Parang

27 Sep 2026, 12:30 AM
Seorang Sasterawan, Wartawan dan Sebilah Parang

Oleh N Faizal Ghazali

Ilustrasi Muizzah

Lelaki kurus itu tiba di parkir rumah seorang sasterawan

dadanya berdebar mahu menemu bual

dia memberi salam

si tua itu menyambut, di tangan kanannya sebilah parang

usai menebas sajak-sajak meliar rimbun

di antara semak-samun.

Pak, izinkan saya bertanyakan beberapa soalan, kata si wartawan muda.

mata parang langsung menyahut;

sajak-sajak sudah botak

sasterawan tidak lagi meniup semangat kebangsaan

seniman ditindas kecerdasan buatan.

Ya saudara silakan soalannya jika sesuai kuhujahkan, kata sasterawan.

ulu parang langsung menyampuk;

Pak, tidakkah kita usai menebas sajak?

apa yang tinggal siap menjadi buku

dibaca sekali, dibiarkan berkali-kali

maaf kerana melukakan.

Pak, apa lagi perlu diperjuang para penyair dan seniman zaman sekarang? soal wartawan.

Begini orang muda, mereka sendiri tahu jawapannya

kau pulang saja, esok kukirimkan selembar puisi

paling indah, tak pernah tertuliskan

setiap rangkap ada jawapan

dan penyair akan berhenti memuji diri sendiri.

mata parang pun bersinar mengiring wartawan pulang.

Kategoriseni budaya

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.