KUALA LUMPUR, 25 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan agar dua wartawan yang terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan membuat liputan program di Bagan Datuk, awal pagi tadi, dikurniakan kesembuhan segera.
Dua wartawan berkenaan ialah Nur Afiradina Arshad, 34, daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Zahratulhayat Md Arif, 37, daripada New Straits Times (NST).
“Mendoakan agar segala urusan rawatan mereka dipermudahkan, dikurniakan kesembuhan yang baik dan segera pulih seperti sediakala,” kata Anwar menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Beliau juga mendoakan semoga segala urusan mereka sekeluarga dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengarahkan pegawai beliau untuk menghulurkan bantuan segera kepada kedua-dua wartawan berkenaan.
Terdahulu, kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira 6 pagi itu menyebabkan Nur Afiradina cedera dan kini sedang dirawat di zon kuning Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), manakala Zahratulhayat yang turut mengalami kecederaan, dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu, namun maklumat lanjut masih dalam siasatan.
-- BERNAMA







