SHAH ALAM, 21 NOV: KRU Entertainment menyasarkan penganjuran Festival Animasi Antarabangsa di Aneka Walk, Shah Alam mulai 2027 sebagai platform menghimpunkan pemain industri kreatif tempatan dan antarabangsa.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Norman Abdul Halim berkata festival berkenaan bukan sekadar menampilkan karya animasi, malah membuka peluang pembangunan bakat, jaringan industri dan pasaran baharu kepada penggiat kreatif negara.
“KRU Entertainment berhasrat mengembangkan acara ini menjadi sebuah festival animasi tahunan, dengan sasaran menganjurkan Festival Animasi Antarabangsa di Aneka Walk, Shah Alam mulai 2027.
“Kami membayangkan festival tersebut bukan sahaja menampilkan tayangan dan watak animasi tempatan atau antarabangsa, tetapi turut menghimpunkan studio, pencipta kandungan, institusi pendidikan, pelabur, pengedar serta rakan pelesenan dari dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kids Fest 2026 yang disempurnakan Timbalan Pengerusi II Majlis Sukan Negeri Selangor, Abbas Salimmi Che Adzmi yang mewakili EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi di Aneka Walk, di sini hari ini.

Menurut Norman, penganjuran festival itu turut berpotensi menjadi ruang kepada bakat muda untuk belajar, usahawan membina jaringan selain membuka peluang karya tempatan menemui pasaran baharu.
“Kita perlu berani membina watak, cerita dan jenama Malaysia yang mampu memikat penonton global,” katanya.
Beliau berkata, Selangor mempunyai potensi besar untuk diposisikan sebagai peneraju industri kreatif negara berikutan kewujudan pelbagai studio, bakat dan syarikat penerbitan kandungan berorientasikan eksport.
Justeru, Norman berkata KRU berharap kerjasama strategik dengan Kerajaan Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dapat diperluas bagi menyokong pembangunan bakat dan keusahawanan kreatif.
“Kami amat berharap dapat meneroka sokongan dan kerjasama strategik Kerajaan Negeri terutama dalam pembangunan bakat, keusahawanan kreatif, jaringan industri dan usaha membawa kandungan Malaysia ke pasaran dunia,” katanya.
Sementara itu, pengunjung Kids Fest 2026 menyambut baik penganjuran program berkenaan yang disifatkan sebagai pengisian hujung minggu yang menarik untuk seisi keluarga.
Maryam Humairah Shahlan, 29, dari Shah Alam berkata, penganjuran program seperti itu memberi peluang kepada kanak-kanak menyertai pelbagai aktiviti dalam suasana selesa.

“Saya bawa anak sertai pertandingan mewarna. Aktiviti seperti ini bagus sebab banyak aktiviti untuk kanak-kanak dan tempatnya pun selesa. Harap dapat diadakan dengan lebih kerap,” katanya.
Bagi Zulkifli Abu Khair, 41, dari Bandar Sunway berkata, penganjuran Kids Fest 2026 diketahuinya menerusi TikTok dan menjadi pilihan untuk mengisi masa bersama keluarga pada hujung minggu.

“Ini kali pertama saya datang. Saya nampak iklan di TikTok dan saja luangkan masa hujung minggu di sini. Harap program seperti ini dapat diadakan setiap bulan,” katanya.
Diyana Mat Yunus, 38, pula berkata, program berkenaan menarik kerana memberi peluang kepada anak-anak melakukan aktiviti bersama keluarga, termasuk menyertai pertandingan mewarna.












