PKNS pacu transformasi SA Sentral, rancakkan ekonomi pusat bandar Shah Alam

2 Nov 2026, 12:51 AM
PKNS pacu transformasi SA Sentral, rancakkan ekonomi pusat bandar Shah Alam
PKNS pacu transformasi SA Sentral, rancakkan ekonomi pusat bandar Shah Alam
PKNS pacu transformasi SA Sentral, rancakkan ekonomi pusat bandar Shah Alam
PKNS pacu transformasi SA Sentral, rancakkan ekonomi pusat bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 2 NOV: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mempergiat usaha menjadikan SA Sentral sebagai pusat komersial yang aktif sepanjang masa menerusi kepelbagaian perniagaan, kemudahan pejalan kaki dan jaringan perhubungan lebih baik.

Inisiatif pembangunan bernilai RM3 bilion itu bertujuan menarik kehadiran pengunjung secara berterusan, bukan hanya ketika acara besar, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi di pusat bandar Shah Alam.

“Bagi memastikan penduduk dan pengunjung terus datang ke pusat bandar Shah Alam, kami memberi tumpuan kepada aktiviti konsisten, pilihan perniagaan relevan serta persekitaran yang mudah dan selesa dikunjungi,” menurut PKNS kepada Media Selangor.

SA Sentral merupakan projek pembaharuan bandar berorientasikan transit yang dilaksanakan secara berfasa selama 10 tahun sehingga 2035 bagi menghidupkan semula kawasan berkenaan serta menarik lebih ramai penduduk dan pengunjung.

Menurut PKNS, Aneka Walk yang dibuka kepada orang ramai awal tahun ini dijangka beroperasi sepenuhnya November ini, tertakluk kepada kesiapsiagaan premis dan penyewa, dengan menawarkan 150 lot perniagaan termasuk makanan dan minuman, fesyen, kraf serta muzik.

“Kami memberi tumpuan kepada pelbagai pilihan makanan dan minuman, termasuk jenama yang mampu menarik pengunjung, selain menganjurkan program berkala supaya Aneka Walk kekal aktif sepanjang minggu,” katanya sambil menyatakan kawasan pejalan kaki berbumbung mampu menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu masa.

Sementara itu, Galeria SA Sentral bakal menempatkan program seni dan kebudayaan, manakala hotel Grand Mercure Shah Alam SA Sentral serta ruang kerja bersama Regus dijangka memperluas kemudahan penginapan dan perniagaan di kawasan berkenaan.

Selangor International Trade Centre (SITC) yang dijenamakan semula daripada Pusat Konvensyen Shah Alam, turut berperanan sebagai hab mesyuarat perniagaan, perdagangan dan jaringan kerjasama, sekali gus menyediakan pelbagai sebab untuk orang ramai mengunjungi pusat bandar.

PKNS menjelaskan penambahbaikan pencahayaan, papan tanda dan laluan pejalan kaki termasuk sambungan ke stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Dato' Menteri akan meningkatkan kemudahan akses, selain naik taraf jalan serta lampu di Jalan Dato' Menteri dan Jalan Perbandaran.

Pembangunan itu turut merangkumi perancangan kira-kira 1,000 unit kediaman tambahan bagi meningkatkan populasi pusat bandar, di samping membuka peluang pekerjaan dan keusahawanan, merancakkan sektor peruncitan, makanan dan minuman, hospitaliti serta perkhidmatan, sekali gus memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai daerah pusat perniagaan (CBD).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.