Bukan sekadar tarik pengunjung, Aneka Walk bina ekosistem usahawan

20 Ogos 2026, 12:00 AM
Bukan sekadar tarik pengunjung, Aneka Walk bina ekosistem usahawan
Bukan sekadar tarik pengunjung, Aneka Walk bina ekosistem usahawan
Bukan sekadar tarik pengunjung, Aneka Walk bina ekosistem usahawan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pembangunan Aneka Walk di Seksyen 14 di sini bukan sekadar untuk menarik pengunjung, sebaliknya menjadi platform membina komuniti peniaga dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada usahawan, khususnya Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mahmud Abbas berkata kepelbagaian aktiviti dan sektor perniagaan di kawasan itu mampu mewujudkan ekosistem yang menggalakkan lebih ramai usahawan berkembang.

Katanya, kedudukan Aneka Walk yang dikelilingi pelbagai kemudahan seperti pusat beli-belah, Kompleks PKNS, Taman Tasik Shah Alam, pusat perdagangan dan hotel turut memberi kelebihan untuk menarik orang ramai ke kawasan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato' Mahmud Abbas bercakap kepada media selepas majlis Perasmian Temasya Aneka 2026 di Aneka Walk, Shah Alam pada 19 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“PKNS bina Aneka Walk ini untuk menarik orang datang. Kiri kanan kita ada kedai, pusat beli-belah, sebelahnya Kompleks PKNS dan tasik.

“Di sini serba-serbi ada, termasuk pusat beli-belah, tasik, pusat perdagangan dan hotel. Dengan adanya Aneka Walk, ia bukan sahaja dibina untuk orang datang dan menikmati suasana, tetapi untuk membina masyarakat peniaga dengan pelbagai aktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Temasya Aneka, program yang menyediakan 18 acara kendalian KRU Entertainment, di sini semalam. Turut hadir Presiden KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim.

Menurut Mahmud, kemudahan seperti perpustakaan di SACC Mall, Hotel Grand Mercure dan ruang pejabat bersama yang terdapat di sekitar kawasan itu turut membantu mewujudkan ruang pertemuan dan jaringan perniagaan.

“Perniagaan ini berjumpa orang. Jadi, kita memberi peluang untuk orang berjumpa dengan orang lain bagi merancakkan lagi perniagaan,” katanya.

Orang ramai membeli buah-buahan tempatan sempena Pesta Buah-Buahan Negeri Selangor 2026 di Aneka Walk, Seksyen 14, Shah Alam pada 24 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Dalam pada itu, beliau berkata Temasya Aneka turut berperanan menghidupkan semula elemen seni dan budaya selain menjadi tarikan kepada pengunjung.

Katanya, pelbagai persembahan termasuk wayang kulit dan joget lambak akan dianjurkan bagi memberi peluang kepada masyarakat mengenali semula warisan seni budaya tempatan dalam suasana yang lebih terbuka.

“Dengan acara yang disajikan, kita dapat belajar dan mengenali semula budaya. Tarian-tarian budaya bukan sahaja boleh dibuat di dalam dewan atau ketika ada orang kenamaan, tetapi orang biasa juga boleh mengenali kembali budaya.

“Sebab itu wayang kulit, joget lambak dan pelbagai lagi acara akan diadakan di sini. Insya-Allah, ia juga boleh menarik pelancong kembali ke kawasan ini,” katanya.

Mahmud berkata Temasya Aneka tidak akan terhenti setakat hujung tahun ini, sebaliknya akan diteruskan pada tahun depan menerusi kerjasama PKNS dan KRU Entertainment.

“Program ini bukan sahaja hingga akhir tahun, ia akan berterusan sebab kita bekerjasama dengan KRU dan mereka akan mengendalikan tempat ini dan akan ada lagi program untuk 2027,” katanya.

Pengunjung melalui laluan pejalan kaki Aneka Walk di Aneka Walk @ SA Sentral, Shah Alam pada 25 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Aneka Walk merupakan sebahagian daripada pembangunan SA Sentral menerusi pelaburan PKNS bagi menghidupkan semula laluan pejalan kaki antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.

Mempunyai keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, Aneka Walk berfungsi sebagai hab acara dan budaya yang mampu menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Aneka Walk turut menyediakan 150 lot niaga untuk usahawan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, kraf serta seni dan muzik.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.