SHAH ALAM, 19 OGOS: Sebanyak 18 acara pelbagai tema bakal menghidupkan Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, menerusi Temasya Aneka yang dianjurkan KRU Entertainment bermula 4 September hingga penghujung tahun ini.
Presiden KRU Entertainment, Dato’ Norman Abdul Halim berkata rangkaian acara itu merangkumi festival makanan, seni, muzik, kebudayaan, hartanah serta program untuk kanak-kanak bagi menarik pelbagai lapisan pengunjung.
Katanya, kepelbagaian program itu dirangka bagi menjadikan Aneka Walk sebagai destinasi berteraskan acara yang bukan sahaja menarik pengunjung tempatan, malah pelancong antarabangsa.

“Aneka Walk telah dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai sebuah destinasi pelancongan berteraskan acara yang meraikan kepelbagaian budaya, makanan, seni dan hiburan.
“KRU Entertainment telah merangka pelbagai acara untuk menarik pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa, sekali gus menghidupkan suasana bandar raya Shah Alam.
“Terdapat acara untuk anak muda, keluarga, peminat makanan serta pencinta seni dan budaya. Temasya Aneka merupakan platform untuk memperkenalkan pelbagai acara sepanjang baki 2026 bermula 4 September ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Temasya Aneka, di sini.
Norman berkata setiap acara dirangka dengan identiti dan sasaran pengunjung berbeza, selain membuka ruang kepada kerjasama dengan pelbagai pihak dalam menganjurkan program.
“Pendekatan KRU Entertainment terbuka dan kolaboratif. Ada acara yang diterbitkan sendiri KRU, ada yang dibangunkan bersama rakan penganjur acara lain dan ruang turut disewakan kepada penganjur luar untuk membawa idea mereka sendiri.
“Matlamatnya satu, iaitu memastikan Aneka Walk sentiasa hidup, relevan dan mempunyai sesuatu yang baharu untuk dinikmati,” katanya.

Dalam pada itu, Norman berkata KRU Entertainment turut merancang membuka sebuah kafe di Aneka Walk yang menawarkan pelbagai hidangan termasuk makanan Barat kepada pengunjung.
Aneka Walk merupakan sebahagian daripada pembangunan SA Sentral menerusi pelaburan PKNS bagi menghidupkan semula laluan pejalan kaki antara Kompleks PKNS dan SACC Mall.
Mempunyai keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter, Aneka Walk berfungsi sebagai hab acara dan budaya yang mampu menampung sehingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa.
Aneka Walk turut menyediakan 150 lot niaga untuk usahawan dalam pelbagai sektor termasuk makanan, fesyen, kraf serta seni dan muzik.









