Belanjawan Selangor 2027: MBDK harap jalan rosak, tebatan banjir diberi keutamaan

29 Okt 2026, 3:00 AM
Belanjawan Selangor 2027: MBDK harap jalan rosak, tebatan banjir diberi keutamaan
Belanjawan Selangor 2027: MBDK harap jalan rosak, tebatan banjir diberi keutamaan
Belanjawan Selangor 2027: MBDK harap jalan rosak, tebatan banjir diberi keutamaan
Belanjawan Selangor 2027: MBDK harap jalan rosak, tebatan banjir diberi keutamaan

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerja membaik pulih jalan raya rosak dan memperkukuh sistem tebatan banjir di Klang wajar diberi keutamaan dalam Belanjawan Selangor 2027.

Datuk Bandar Klang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata keperluan itu penting memandangkan Klang merupakan bandar pelabuhan yang menampung pergerakan kenderaan termasuk pengangkutan berat setiap hari.

Menurutnya, infrastruktur yang baik penting bagi memastikan kelancaran pengangkutan, mengurangkan risiko banjir serta mengelakkan gangguan terhadap aktiviti ekonomi dan kehidupan penduduk.

“Sebagai sebuah bandar yang mempunyai pelabuhan serta menampung pergerakan kenderaan dan pengangkutan berat, kita mengharapkan dalam bajet ini supaya infrastruktur tersebut diberi keutamaan bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik, khususnya dari segi jalan raya dan juga tebatan banjir.

Datuk Bandar Klang Dato’ Abd Hamid Hussain bertemu ketika Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 3 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Itu yang paling utama bagi pihak kami mengharapkan bajet daripada negeri,” katanya kepada Media Selangor.

Selain infrastruktur asas, Abd Hamid berkata Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) turut berharap Kerajaan Negeri menyediakan bantuan bagi memperindah kawasan bandar, termasuk menambah baik kemudahan pencahayaan.

“Di samping perkara-perkara lain, kalau ada bantuan daripada negeri berkaitan dengan pengindahan, berkaitan dengan pencahayaan, itu yang kita sangat harapkan daripada bajet ini,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata jalan raya berusia lebih 20 tahun di Selangor akan diberi keutamaan untuk kerja naik taraf tahun depan, termasuk penurapan dan kemasan semula bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

Jalan Garuda, Batu 9, Sijangkang yang tular susulan kerosakan jalan berulang sudah ditampal sementara. Foto FACEBOOK JKR KUALA LANGAT

Menurutnya, pelaksanaan akan dibuat secara berperingkat dengan tumpuan turut diberikan kepada laluan sesak yang lebih terdedah kepada mendapan dan kerosakan permukaan jalan.

Izham turut berharap Belanjawan Selangor 2027 yang dijadual dibentangkan pada 13 November ini menyediakan peruntukan tambahan bagi mempercepat kerja penyelenggaraan serta menaik taraf jalan terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Hamid sebelum ini memaklumkan MBDK melaksanakan pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani kejadian banjir kilat di Klang.

Beliau berkata usaha itu selaras dengan pelan tindakan mitigasi banjir Klang Sustainable Stormwater Plan (KLASS) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.