SHAH ALAM, 6 NOV: Penduduk daerah Klang khususnya yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai diingatkan supaya berwaspada serta membuat persediaan awal menjelang fenomena air pasang besar selama lima hari bermula esok.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Datuk Abd Hamid Hussain berkata penduduk juga perlu sentiasa memantau perkembangan cuaca dan makluman rasmi pihak berkuasa serta mengelak kawasan berisiko ketika hujan lebat dan air pasang.
“Dokumen dan barangan berharga perlu diletakkan di tempat selamat, manakala kenderaan dialihkan ke kawasan lebih tinggi. Penduduk juga perlu memastikan persediaan kecemasan keluarga mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan hebahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, fenomena itu dijangka menyebabkan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang mencecah 5.2 meter dengan bacaan tertinggi diramal pada 5.02 pagi Ahad, sekali gus berada dalam kategori paras amaran.
Mengikut petunjuk paras air di Pelabuhan Klang, bacaan antara 5.0 hingga 5.3 meter dikategorikan sebagai paras amaran, manakala 5.4 hingga 5.5 meter sebagai paras bahaya.
Hebahan itu turut memaklumkan ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat pada petang Sabtu dan Ahad, diikuti hujan pada waktu malam.
Sementara itu, Abd Hamid berkata MBDK meningkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko banjir, termasuk fenomena air pasang besar, menerusi penyelarasan tindakan bersama agensi berkaitan dalam Mesyuarat Penyelarasan Isu Banjir November 2026.
Antara lokasi berisiko banjir yang diberikan tumpuan ialah Persimpangan Bukit Raja, Taman Mutiara Bukit Raja, Taman Melawis, Kampung Bukit Kapar, Taman Meru Indah, Taman Seri Kerayong, Taman Daya Maju dan Jalan Haji Salleh, Pekan Meru.
“Antara langkah yang diberi perhatian termasuk menaik taraf sistem saliran, memasang pintu flap, membaiki paip pelepasan dan menyelenggara kolam takungan.
“Selain itu, Skuad Pantas MBDK dan jabatan berkaitan bersedia mengambil tindakan segera terhadap aduan serta kejadian bencana,” katanya.
Beliau berkata MBDK menerima 83 aduan berkaitan bencana dalam tempoh dua hari bermula Rabu lalu, dengan 62 kes berjaya diselesaikan, 16 masih dalam tindakan manakala lima lagi membabitkan bantuan khas.
Dalam pada itu, penduduk yang mengalami kerosakan kenderaan atau harta benda akibat kejadian pokok tumbang di bawah seliaan MBDK boleh mengemukakan tuntutan dengan membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum semakan dan tindakan lanjut dijalankan.








