SHAH ALAM, 16 NOV: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang disaran menyelaras pemeriksaan sistem saliran bersama agensi penting seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi menangani isu banjir di daerah itu.
Pengerusi Blok Penyokong Kerajaan (BBC), Azmizam Zaman Huri berkata kerjasama itu juga boleh melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pemilik utiliti bagi memastikan kelancaran sistem saliran serta mengenal pasti masalah lebih awal.
“Pemeriksaan ini perlu mengikut laluan air, bermula dari longkang di kawasan kediaman, melalui parit utama dan pembetung, sehingga ke pintu air. Jika air bertakung kerana pembetung hilir sempit, kerja pembersihan longkang tidak menyelesaikan masalah itu.
“Selepas pemeriksaan, setiap lokasi perlu ada tindakan yang jelas, agensi yang bertanggungjawab dan tarikh sasaran untuk menyiapkan kerja,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2027 pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Azmizam turut mencadangkan setiap jajaran parit tidak bertuan, diletakkan bawah tanggungjawab agensi kerajaan tertentu, dengan projek awal melibatkan parit sepanjang 7.7 kilometer sekitar Klang.
“JPS sudah dua kali menyelenggara parit ini. Penduduk perlu tahu jadual kerja pembersihan, selain boleh mengetahui cara membuat aduan sekiranya ada parit tertimbus, pembetung tersumbat atau laluan air terhalang,” katanya.
Beliau turut mencadangkan sistem saliran di kawasan pembangunan baharu dinilai sepenuhnya termasuk mengambil kira keadaan kampung dan taman perumahan sedia ada sekitarnya.
Katanya, perkara ini perlu dijelaskan sebelum kelulusan kebenaran merancang (KM) diberi kepada pemaju projek.
“Apabila sesuatu tapak ditambak atau diturap, ke mana air hujan akan mengalir? Adakah parit yang sedia ada mampu untuk menampung kuantiti hujan lebat dan air laut sedang pasang?.
“Kita tak mahu kesilapan membuat keputusan akan menyebabkan penduduk berdepan dengan risiko banjir jika sistem saliran tidak memenuhi piawaian yang sepatutnya,” katanya.
Ketika membentang belanjawan 2027 pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
Daripada jumlah berkenaan, sejumlah RM1.9 bilion bersamaan 57.6 peratus untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.4 bilion atau 42.4 peratus bagi pembangunan.
Jelas beliau, negeri turut menganggarkan hasil yang mampu dikutip sebanyak RM2.85 bilion tahun depan meliputi premium tanah berjumlah RM1.112 bilion bersamaan 39 peratus daripada anggaran hasil.
Malah, cukai tanah diunjurkan menyumbang RM653.82 juta bersamaan 23 peratus daripada hasil keseluruhan, manakala pemberian Persekutuan sebanyak RM292.70 juta bersamaan 10 peratus.
Menurutnya lagi, buat pertama kali, belanjawan negeri turut memberi penekanan khusus terhadap perubahan iklim sebagai strategi memperkukuh daya saing negeri dalam menghadapi cabaran masa depan.







