GOMBAK, 21 NOV: Kerajaan Selangor menyerahkan notis kelulusan pemberimilikan tanah (Borang 5A) kepada empat sekolah dalam daerah Gombak.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia membabitkan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ehsan, SMK Ideal Height dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Desa Jaya.
“Dengan selesainya urusan pemberimilikan tanah ini, ia memberikan jaminan pemilikan yang sah serta memudahkan urusan pembangunan prasarana sekolah demi keselesaan dan masa depan pendidikan anak-anak,” katanya dalam kenyataan.
Selain sekolah, lebih 20 individu turut menerima Borang Notis 5A melibatkan tujuan kediaman, perniagaan, perindustrian dan lanjutan tempoh pajakan tanah sekitar Selayang, Rawang, Kundang dan Ampang.
Amirudin sebelum itu merasmikan Program MADANI Kita (PMK) Gombak di Dewan Rakyat Batu Caves yang dihadiri lebih 1,000 penduduk.

Dalam majlis sama, 200 penduduk turut menerima Bakul Rahmah, pelbagai program lain turut diadakan seperti program tukar minyak enjin, pemberian helmet percuma dan cabutan bertuah.
PMK @ Gombak adalah anjuran Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia selaku agensi pelaksana dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Jabatan Perdana Menteri.









