SHAH ALAM, 22 NOV: Pendedahan kepada filem, anime atau permainan video berunsur keganasan tidak seharusnya dikaitkan secara langsung dengan perlakuan ganas dalam kalangan remaja kerana individu yang menonton kandungan sama mungkin memberikan tindak balas berbeza bergantung kepada keadaan masing-masing.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, media tidak seharusnya dijadikan kambing hitam kerana tindakan itu boleh mengalihkan perhatian daripada faktor lain, termasuk motif peribadi, kecenderungan tingkah laku sedia ada dan penyalahgunaan bahan terlarang.
“Seseorang individu perlu mempunyai tujuan, keinginan atau kecenderungan terlebih dahulu untuk melakukan perbuatan sedemikian. Selepas itu, barulah faktor lain mempengaruhi keputusan mereka untuk bertindak ganas,” katanya kepada Media Selangor.

Bagi menjelaskan perkara itu, Kamal menyamakan media dengan sebilah pisau yang boleh digunakan untuk melakukan kerja harian atau mencederakan seseorang, bergantung kepada niat penggunanya.
“Pisau, jika digunakan dengan betul, boleh memotong, menghiris dan digunakan di dapur. Namun, jika digunakan dengan tujuan melakukan keganasan, nyawa boleh melayang.
“Jadi, cara pisau digunakan bergantung kepada siapa yang menggunakannya dan bagaimana mereka melihat fungsi alat itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kecenderungan seseorang untuk mengaitkan diri dengan watak fiksyen tidak semestinya bermakna watak berkenaan boleh mempengaruhi mereka melakukan keganasan kerana setiap kes perlu dinilai secara individu, termasuk mengambil kira keadaan mental dan latar belakang individu terbabit.
Kamal berkata demikian ketika mengulas peningkatan insiden membabitkan remaja yang bertindak agresif di sekolah sehingga menyebabkan serangan maut sejak beberapa bulan kebelakangan ini, selain persoalan sama ada kandungan media atau dalam talian yang memaparkan keganasan ekstrem boleh mempengaruhi golongan berkenaan.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa kes terbaharu itu mencerminkan trend baharu sepenuhnya dengan mengingatkan bahawa insiden keganasan maut membabitkan pelajar sekolah pernah direkodkan seawal 1998.
Bagaimanapun, tahap kekejaman dan persekitaran kejadian mungkin berbeza, manakala kelemahan pemantauan komuniti serta kekurangan individu dewasa yang boleh dijadikan teladan berpotensi menyebabkan remaja kehilangan panduan.
Katanya, usaha menangani keganasan remaja juga perlu mengambil kira peranan pelaku, mangsa dan individu yang menggalakkan perlakuan sedemikian.

Beliau berkata, pencegahan keganasan remaja merupakan tanggungjawab bersama kerana peranan sebagai ibu bapa bukan hanya terhad kepada ibu dan bapa kandung, malah turut merangkumi penjaga serta masyarakat sekeliling.
“Semua orang ialah ibu atau bapa, walaupun bukan kepada anak kandung sendiri. Mereka tetap memegang kedudukan dan tanggungjawab sebagai ibu bapa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa memantau akses anak terhadap kandungan digital, selain membina keyakinan diri dan keupayaan membuat keputusan secara berdikari sejak usia muda bagi membantu mereka menolak pengaruh negatif rakan sebaya.
Menurutnya, ibu bapa lazimnya menjadi individu pertama yang menyedari perubahan tingkah laku membimbangkan dalam kalangan anak, justeru pembelajaran sementara dari rumah boleh dipertimbangkan bagi pelajar yang memerlukan intervensi awal.
Kamal memberi amaran bahawa insiden seumpama itu berkemungkinan berterusan sekiranya penyelesaian berkesan terus ditangguhkan.
Katanya, usaha menangani isu berkenaan perlu menggabungkan kepakaran golongan profesional dengan pengalaman praktikal individu yang berurusan secara langsung dengan masyarakat.
“Tujuan perbincangan bukan untuk melihat siapa menang atau kalah, tetapi untuk menentukan perkara yang betul. Melalui cara itu, kita dapat mempelajari penyelesaian, bukan sekadar mendapatkan jawapan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Kamal menyambut baik pelancaran Portal Sekolahku baru-baru ini yang disifatkan sebagai langkah positif untuk meningkatkan akses digital kepada maklumat berkaitan sekolah.
Beliau turut mencadangkan supaya inisiatif seumpama itu diperluas menerusi sistem pelaporan menggunakan kod respons pantas (QR) bagi membolehkan pelajar dan individu yang mempunyai maklumat melaporkan secara sulit sebarang konflik atau ancaman sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Katanya, kod QR boleh dipaparkan di sekitar kawasan sekolah bagi membolehkan pelajar mengakses saluran pelaporan itu termasuk selepas waktu persekolahan, meskipun terdapat larangan membawa telefon bimbit ke sekolah.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh membuat laporan. Dengan hanya mengimbas kod QR, mereka boleh mengakses saluran berkenaan dan menghantar isyarat kecemasan (SOS),” katanya.







