SHAH ALAM, 22 NOV: Pendedahan kepada filem, drama atau kandungan media berunsur keganasan boleh mempengaruhi cara remaja melihat dan bertindak balas terhadap perlakuan agresif, namun tidak semestinya mendorong mereka melakukan keganasan.
Pakar psikologi, Dr Liley Afzani Saidi berkata, beberapa faktor lain termasuk latar belakang keluarga dan persekitaran sosial turut mempengaruhi cara remaja mentafsir serta bertindak balas terhadap kandungan berkenaan.
“Namun, saya tidak mengatakan bahawa menonton filem atau drama ganas secara automatik akan menjadikan seseorang itu ganas.
“Kita perlu melihat individu itu sendiri, perkembangan emosinya, latar belakang keluarga serta persekitaran tempat mereka membesar,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada kandungan berunsur keganasan boleh menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes buli lebih ekstrem dalam kalangan remaja ketika ini.
Menurut Dr Liley, golongan remaja masih melalui proses perkembangan dari segi kawalan emosi, pertimbangan dan keupayaan mengawal dorongan, sekali gus menyebabkan sesetengah daripada mereka lebih mudah terpengaruh dengan unsur negatif.
“Remaja yang sukar mengawal kemarahan, perasaan ditolak atau kekecewaan mungkin lebih mudah terpengaruh dengan kandungan sedemikian, khususnya apabila keganasan digambarkan sebagai cara untuk memperoleh kuasa, perhatian atau penghormatan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu berkenaan bukan sekadar berkaitan kandungan yang ditonton menerusi skrin, sebaliknya turut melibatkan keupayaan remaja mengurus emosi serta bimbingan yang diterima daripada ibu bapa dan guru.
Mengulas kajian berkaitan pendedahan kepada media ganas dan tingkah laku agresif dalam kalangan remaja, Dr Liley berkata, hubungan antara kedua-duanya juga boleh berlaku secara timbal balik.
Beliau berkata, kajian longitudinal oleh Kjærvik dan rakan-rakan pada tahun lalu yang melibatkan lebih 2,000 remaja meneliti hubungan antara pendedahan kepada media ganas dengan pelbagai bentuk tingkah laku agresif dalam tempoh tertentu.
Selain itu, satu lagi kajian oleh Dou dan Zhang yang diterbitkan pada 2025 turut melaporkan hubungan timbal balik antara pendedahan kepada media ganas dengan tingkah laku agresif.
“Sesetengah remaja mungkin semakin menerima tingkah laku agresif akibat pendedahan berulang kali, manakala mereka yang sememangnya mempunyai kecenderungan agresif pula mungkin lebih tertarik kepada kandungan ganas.
“Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati ketika mentafsir dapatan ini kerana pemikiran atau tingkah laku agresif tidak semestinya sama dengan perbuatan keganasan yang serius,” katanya.
Menurut beliau, pendedahan kepada media semata-mata jarang mencukupi untuk menjelaskan mengapa seseorang remaja bertindak ganas, sebaliknya perlu dilihat bersama pengalaman emosi, hubungan kekeluargaan, persekitaran rakan sebaya dan corak tingkah laku sedia ada.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan guru supaya peka terhadap perubahan tingkah laku remaja, termasuk ancaman berulang, permusuhan yang semakin meningkat, perbuatan mengugut, kesukaran mengawal kemarahan serta tindak balas agresif terhadap perselisihan kecil.
Katanya, tingkah laku sedemikian perlu diberi perhatian kerana berpotensi berkembang menjadi perbuatan keganasan sekiranya tidak ditangani.







