Cegah buli sekolah, kod QR dicadang sebagai sistem amaran awal

20 Okt 2026, 2:00 AM
Cegah buli sekolah, kod QR dicadang sebagai sistem amaran awal
Cegah buli sekolah, kod QR dicadang sebagai sistem amaran awal

SHAH ALAM, 20 OKT: Penggunaan kod QR sebagai saluran aduan di sekolah dilihat mampu membantu mengesan ancaman buli dan rancangan pergaduhan lebih awal sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kemudahan itu membolehkan pelajar menyalurkan maklumat dengan lebih mudah kepada pihak bertanggungjawab, termasuk di luar waktu persekolahan.

Menurutnya, rancangan pergaduhan lazimnya sudah diketahui dalam kalangan pelajar lebih awal, namun maklumat tersebut mungkin tidak sampai kepada pihak sekolah kerana ketiadaan saluran aduan yang sesuai.

Beliau memberi contoh inisiatif Safe to Tell Malaysia yang menggunakan kod QR sebagai saluran pelaporan bagi membolehkan pelajar berkongsi maklumat mengenai sebarang ancaman.

“Esok nak bergaduh, hari ini saya tahu. Maknanya selepas sekolah pun saya boleh sampaikan,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Kamal Affandi turut menegaskan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sahaja tidak memadai sekiranya tiada pemantauan berkesan atau sistem yang mampu mengesan tanda awal sesuatu kejadian.

“Saya dah pasang CCTV. Okey, sekarang siapa yang memerhati keseluruhannya? Bagaimana?

“Jadi saya nak tahu perisiannya apa, bagaimana mereka mengesan, boleh jangka atau tidak,” katanya.

Jelasnya, usaha menangani buli perlu memberi tumpuan kepada langkah pencegahan dan penyelesaian masalah, bukan sekadar mencari pihak untuk dipersalahkan selepas sesuatu kejadian berlaku.

Sehubungan itu, kerjasama sekolah, ibu bapa dan komuniti perlu diperkukuh bagi memastikan setiap maklumat mengenai ancaman buli dapat disalurkan dan tindakan awal diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Isu keselamatan pelajar kembali mendapat perhatian susulan kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu.

Pada 15 Oktober, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa membunuh mangsa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kejadian berkenaan sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan saluran aduan dan sistem pengesanan awal di sekolah bagi mencegah ancaman terhadap keselamatan pelajar.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.