SHAH ALAM, 19 OKT: Kegagalan mengesan tanda awal buli dan mengambil tindakan pencegahan berkesan dibimbangi boleh mengundang tragedi sehingga meragut nyawa pelajar.
Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata kehilangan satu nyawa akibat kejadian buli sudah cukup untuk dianggap kritikal tanpa perlu menunggu jumlah kes atau kematian meningkat sebelum langkah lebih tegas diambil.
Menurutnya, perkara lebih mengecewakan apabila kejadian yang meragut nyawa tidak dijadikan pengajaran untuk mengenal pasti kelemahan serta memperbaiki sistem pencegahan sedia ada.
“Walaupun satu kes yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa, itu sudah kritikal. Saya tak nampak pula sebab untuk kita letakkan ada 10 orang, baru kritikal.
“Yang menyedihkan dan mengecewakan saya ialah apabila kita tidak belajar sesuatu daripada kematian itu,” katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Kamal Affandi berkata usaha menangani buli memerlukan pendekatan lebih sistematik dengan mengenal pasti tindakan bersesuaian sama ada pencegahan, intervensi segera atau pemulihan bagi mengelakkan kejadian berulang.
“Kita kena gariskan benda yang mudah. Pertama, kita kena pecah kepada 'manpower, material, method, monetary'.
“Kemudian kita perlu pula gabungkan dengan prinsip yang lain, prinsip pengurusan risiko pencegahan dan mitigasi,” katanya.
Menurutnya, pendekatan pelbagai disiplin penting bagi memastikan setiap risiko dikenal pasti dan ditangani secara menyeluruh, bukan hanya memberi tumpuan kepada aspek psikologi atau kaunseling selepas kejadian berlaku.
Beliau berkata masalah buli juga tidak seharusnya dilihat daripada sudut psikologi atau kaunseling semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pengurusan risiko, aspek jenayah dan disiplin ilmu lain bagi membolehkan penyelesaian lebih menyeluruh dirangka.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak dan kepakaran penting bagi memastikan setiap kejadian dinilai daripada sudut berbeza, sekali gus membantu mengenal pasti langkah pencegahan yang lebih berkesan.
Isu keselamatan pelajar kembali menjadi perhatian susulan kematian Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada 3 Oktober lalu.
Dalam perkembangan sama, pada 15 Oktober, seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun yang juga rakan sekelas mangsa didakwa membunuh remaja berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pelajar di sekolah, sekali gus menguatkan keperluan memperkukuh mekanisme pengesanan risiko dan tindakan awal sebelum sesuatu insiden menjadi lebih serius.








