SHAH ALAM, 23 OKT: Masyarakat digesa menghentikan penyebaran foto dan video keganasan di sekolah di media sosial kerana tindakan itu berisiko mencetuskan kesan penularan sosial yang boleh mendorong kejadian serupa berulang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, masyarakat perlu membezakan antara keprihatinan terhadap keselamatan murid dengan tindakan menyebarkan kandungan sensasi yang boleh memberi publisiti kepada pelaku keganasan.
Beliau berkata, kejadian keganasan di sekolah, termasuk kes terbaru di Kuching, Sarawak, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak, namun perkongsian foto dan video insiden berkenaan bukan semestinya mencerminkan keprihatinan masyarakat.
“Dalam era kandungan mudah tular dan kecerdasan buatan (AI), rakyat Malaysia perlu melakukan perkara yang sama: berhenti berkongsi foto dan video keganasan di sekolah.
“Marilah kita berhenti seketika daripada menghadap peranti masing-masing dan menumpukan perhatian kepada usaha menangani isu-isu mendasar bagi membendung keganasan di sekolah,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.

Lim berkata, penggunaan tanda pagar seperti #viralkan dan #fyp boleh meningkatkan capaian sesuatu hantaran menerusi algoritma media sosial, sekali gus membolehkan kandungan tersebar.
Menurutnya, kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan sekolah boleh dieksploitasi untuk meraih tanda suka, perkongsian dan, dalam sesetengah keadaan, pendapatan bagi pemilik akaun yang memuat naik kandungan terbabit.
Beliau turut menjelaskan bahawa fenomena penularan sosial merujuk kepada keadaan apabila tingkah laku, emosi atau idea tersebar dengan pantas dalam kalangan masyarakat, kadangkala tanpa disedari oleh individu yang terpengaruh dengannya.
Mengulas kajian di Amerika Syarikat, Lim berkata, kajian pada 2015 mendapati kejadian pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata api, termasuk insiden tembakan di sekolah, mempunyai kaitan dengan kejadian serupa yang berlaku dalam tempoh terdekat sebelumnya.
Kajian itu mendapati peningkatan sementara kebarangkalian kejadian sedemikian berlaku bertahan selama purata 13 hari, manakala beberapa pelaku serangan besar turut merujuk pembunuh terdahulu sebagai sumber inspirasi.
Sehubungan itu, beliau menggesa media melaporkan isu keganasan sekolah secara beretika tanpa sensasi, dengan memberi tumpuan kepada mangsa dan individu yang terselamat, bukannya memberikan publisiti berlebihan kepada pelaku.

Lim berkata, perbincangan mengenai keganasan sekolah masih boleh dilakukan tanpa menyebarkan siaran langsung serangan atau manifesto pelaku, manakala tindakan platform media sosial memadam kandungan sedemikian juga mempunyai batasan.
Beliau menegaskan bahawa usaha membendung keganasan sekolah tidak seharusnya terhad kepada langkah keselamatan fizikal seperti penggunaan pengesan logam, kehadiran polis, kamera litar tertutup (CCTV) dan hukuman rotan, sebaliknya perlu turut menangani punca utama masalah berkenaan.
“Adakah kita berkongsi kerana benar-benar prihatin atau kerana otak kita menikmati rangsangan endorfin daripada pengiktirafan dalam talian?” katanya.






