Intervensi awal penting, mudah marah antara tanda masalah emosi remaja

6 Okt 2026, 3:00 AM
Intervensi awal penting, mudah marah antara tanda masalah emosi remaja

SHAH ALAM, 6 OKT: Perubahan emosi dan tingkah laku dalam kalangan remaja perlu dikesan lebih awal bagi membolehkan intervensi dilakukan sebelum keadaan menjadi lebih serius, kata pakar psikologi kanak-kanak.

Pensyarah Kanan Kaunseling Taylor's University Dr Ahmad Mustaqim Yusoff berkata perubahan seperti mudah marah, suka menyendiri, hilang minat terhadap aktiviti dan kemerosotan prestasi akademik perlu diberi perhatian kerana boleh menjadi petunjuk awal masalah emosi dalam kalangan remaja.

“Berdasarkan perspektif Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), tekanan dalam kalangan remaja boleh ditunjukkan menerusi perubahan emosi, pengasingan diri, hilang minat terhadap aktiviti, kesukaran memberikan perhatian serta kecenderungan melakukan tingkah laku agresif.

"Saya ingin tekankan, tanda awal bukan bermaksud seseorang itu telah pun didiagnosis. Tetapi tanda-tanda awal ini sebenarnya satu isyarat untuk kita lebih mendekati, memahami apa yang sedang berlaku dan menentukan sama ada remaja tersebut memerlukan bantuan," katanya kepada Media Selangor.

Pensyarah Kanan Kaunseling Taylor's University Dr Ahmad Mustaqim Yusoff

Dr Ahmad Mustaqim berkata perkara penting yang perlu dilihat ialah perubahan daripada kebiasaan remaja itu, tempoh perubahan berlaku dan sejauh mana ia mengganggu kehidupan harian.

Jelasnya, antara tanda yang sering terlepas pandang termasuk perubahan pola tidur dan pemakanan, kerap keletihan, sakit kepala, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, sukar memberikan tumpuan serta kerap tidak hadir ke sekolah.

"Dari sudut UNICEF, tekanan emosi remaja ini sebenarnya tidak semestinya ditunjukkan melalui kesedihan. Ia juga boleh muncul melalui pengasingan diri, mudah marah, mengalami masalah tidur dan mempunyai tingkah laku yang berisiko," katanya.

Mengulas beberapa insiden membabitkan pelajar sekolah, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak terburu-buru mengaitkannya dengan masalah kesihatan mental kerana setiap situasi perlu dilihat berdasarkan latar belakang dan keadaan individu terbabit.

"Kejadian-kejadian ini sebenarnya membuka satu persoalan yang lebih besar tentang sejauh mana remaja kita mempunyai kemahiran dan sokongan untuk mengurus emosi, tekanan dan konflik secara sihat. Isu kesihatan mental ini adalah isu yang sangat serius," katanya.

Dr Ahmad Mustaqim berkata laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2025 menunjukkan satu daripada tujuh remaja berusia 10 hingga 19 tahun di seluruh dunia mengalami masalah kesihatan mental.

Sehubungan itu, katanya, Psychological First Aid (PFA) penting khususnya selepas sesuatu kejadian berlaku kerana kesannya bukan hanya kepada individu yang terlibat secara langsung, malah boleh menjejaskan rakan mangsa, pelajar, guru dan masyarakat.

Jelasnya, PFA merupakan sokongan awal bagi membantu individu berasa selamat, didengari dan dihubungkan kepada bantuan yang sesuai, namun ia bukan terapi atau proses diagnosis.

Beliau berkata prinsip asas PFA ialah lihat, dengar dan hubungkan, iaitu memastikan keselamatan, mendengar kebimbangan tanpa memaksa individu menceritakan semula kejadian serta menghubungkan mereka kepada keluarga atau perkhidmatan profesional yang diperlukan.

“Semua pihak memainkan peranan termasuk rakan yang boleh menemani dan mendengar, guru yang mengenal pasti perubahan pelajar, kaunselor yang memberikan sokongan dan intervensi mengikut kompetensi serta ibu bapa yang meneruskan pemantauan di rumah.

"Kita tidak perlu menunggu sehingga remaja itu berada dalam keadaan krisis baru kita nak bertindak. Tetapi kita perlu peka perubahan yang telah pun berlaku pada diri mereka supaya kita dapat mengelak perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.