Pusat data Selangor perlu perancangan sumber lebih mampan

11 Nov 2026, 1:00 PM
Pusat data Selangor perlu perancangan sumber lebih mampan

SHAH ALAM, 11 NOV: Pembangunan industri pusat data di Selangor perlu disokong perancangan bekalan air dan elektrik yang teliti bagi mengelakkan risiko kekurangan sumber sehingga menjejaskan keperluan penduduk pada masa hadapan.

Ahli Majlis Zon 12 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) K Thayalan berkata, keperluan tenaga dan air yang tinggi bagi operasi pusat data perlu diberikan perhatian, khususnya untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan pertumbuhan industri berkenaan tidak menjejaskan bekalan asas kepada rakyat meskipun sektor tersebut menawarkan peluang dalam perkembangan ekonomi semasa.

"Kerajaan sekarang fokus kepada pusat data. Itu satu usaha baik kerana ia adalah peredaran masa dan ekonomi sekarang, malah Malaysia mengambil peluang dalam sektor tersebut," katanya ketika ditemui Media Selangor di Ibu Pejabat MBPJ, semalam.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya penggunaan tenaga alternatif seperti panel solar dan sumber tenaga hijau diteroka bagi menampung keperluan elektrik industri berkenaan.

Ahli Majlis Zon 12 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) K Thayalan ditemui media selepas pelantikan sebagai Ahli Majlis di Dewan MBPJ Petaling Jaya pada 10 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, potensi menakung dan mengitar semula air, termasuk air banjir, juga perlu dikaji untuk dimanfaatkan bagi kegunaan sistem penyejukan pusat data yang memerlukan penggunaan air dalam jumlah tinggi.

"Jadi, kita perlu melihat bagaimana air boleh ditakung dan dikitar semula, termasuk air banjir, untuk digunakan dalam sistem penyejukan pusat data," katanya.

Beliau berkata, keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik perlu diberi pertimbangan sewajarnya seiring usaha Kerajaan Negeri mempergiat pembangunan industri dan pusat data bagi memastikan pertumbuhan sektor berkenaan dapat dilaksanakan secara mampan.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan industri pusat data sebagai antara sektor ekonomi baharu negeri, susulan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital dan perkhidmatan penyimpanan data.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.