Bajet Selangor 2027: Naik taraf kolam tadahan tangani banjir

11 Nov 2026, 1:00 AM
Bajet Selangor 2027: Naik taraf kolam tadahan tangani banjir

PETALING JAYA, 11 NOV: Penambahbaikan sistem kolam tadahan air di Petaling Jaya diharap menjadi antara keutamaan Bajet Selangor 2027 bagi menangani masalah banjir, khususnya di kawasan rendah.

Ahli Majlis Zon 12 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), K Thayalan berkata peruntukan lebih besar diperlukan bagi kerja mendalamkan dan menyelenggara kolam tadahan sedia ada.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan kolam tadahan mampu menampung lebihan air ketika hujan lebat sebelum disalurkan ke sungai.

“Harapan saya supaya lebih banyak peruntukan diberikan untuk mendalamkan dan menyelenggara kolam tadahan air sedia ada supaya dapat menampung air hujan ketika hujan lebat sebelum disalurkan ke sungai,” katanya ketika ditemui Media Selangor di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, semalam.

Thayalan turut berharap kawasan tasik di Kelana Jaya, Taman Jaya dan beberapa lokasi lain diberikan perhatian bagi meningkatkan keupayaan sistem tadahan air sedia ada.

Katanya, selain penyelenggaraan, penggunaan teknologi dan kepakaran kejuruteraan MBPJ boleh dimanfaatkan untuk mencari kaedah lebih berkesan dalam pengurusan air hujan.

Beliau menjelaskan pendekatan itu dapat membantu menakung lebihan air secara lebih sistematik sebelum disalurkan keluar, sekali gus mengurangkan risiko limpahan di kawasan rendah.

“Kita perlu memanfaatkan teknologi dan kaedah kejuruteraan yang ada di MBPJ untuk menakung air dengan lebih baik supaya kawasan rendah tidak mudah dilanda banjir,” katanya.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.