SHAH ALAM, 15 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 71 kelulusan merangkumi kebenaran merancang, permit struktur serta lesen perniagaan menerusi Program Sehenti bagi Penyelesaian Isu Aktiviti Taska Tanpa Lesen semalam.
MBPJ memaklumkan program itu menyediakan kemudahan kepada pengusaha taska untuk melengkapkan dan mengemukakan permohonan melalui satu saluran bagi memudahkan pematuhan perundangan serta keperluan teknikal.
Menurutnya, berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor pada 29 Jun lalu, sebanyak 81 premis taska dikenal pasti beroperasi tanpa lesen di sekitar Petaling Jaya, dengan 71 daripadanya memerlukan tindakan susulan segera.
“Justeru, hasil pelaksanaan program ini, MBPJ berjaya mengeluarkan sebanyak 71 kelulusan yang merangkumi 19 Kebenaran Merancang, 22 Permit Struktur, 21 Lesen Kekal dan 9 Lesen Sementara,” katanya dalam kenyataan.
Program yang berlangsung di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ itu disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharinaz Samsudin dengan kehadiran wakil JKM Selangor, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Inisiatif berkenaan merupakan kesinambungan sesi libat urus pada 3 Oktober lalu dan selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025–2030.
Pelaksanaan program turut menyumbang kutipan hasil RM86,089 melibatkan fi pemprosesan, fi pengurangan kompaun serta fi tahunan jabatan teknikal berkaitan.
Dalam pada itu, Sharinaz berharap pendekatan satu saluran itu dapat mempercepat proses permohonan dan kelulusan, selain membantu pengusaha memahami keperluan teknikal, piawaian keselamatan serta perundangan yang perlu dipatuhi.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan pengusaha taska, malah menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem ekonomi penjagaan yang lebih selamat, berkualiti dan mampan di Petaling Jaya.
“Tahniah diucapkan kepada semua pengusaha premis yang telah berjaya memperoleh kelulusan. Saya berharap komitmen ini akan diteruskan dengan memastikan setiap keperluan perundangan dan piawaian keselamatan sentiasa dipatuhi.
“Aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak tidak boleh dikompromi kerana mereka merupakan amanah yang perlu dilindungi bersama,” katanya.







