Selangor peruntuk RM1 juta perkasa peranan PIBG, keselamatan sekolah

13 Nov 2026, 11:30 AM
Selangor peruntuk RM1 juta perkasa peranan PIBG, keselamatan sekolah

SHAH ALAM, 13 NOV: Kerajaan Negeri akan memperkukuh kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menerusi peruntukan RM1 juta bagi meningkatkan aktiviti serta usaha memupuk kesedaran dalam kalangan warga sekolah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil secara proaktif bagi menangani isu keselamatan di sekolah susulan beberapa insiden yang berlaku sepanjang tahun ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid.

“Beberapa insiden yang berlaku di sekolah pada tahun ini mengundang keresahan dalam kalangan ibu bapa, guru dan murid berhubung tahap keselamatan di sekolah.

“Sekiranya tidak ditangani secara proaktif, situasi ini boleh menjadi lebih parah. Sebagai sebuah masyarakat, kita perlu mengakui bahawa anak-anak di sekolah tidak boleh dibiarkan tanpa bimbingan dan perlindungan sewajarnya.

“Dalam hal ini, ibu bapa merupakan pemegang taruh penting dalam membangunkan generasi yang berkeyakinan, berpengetahuan serta memahami kepentingan keteraturan dan kesederhanaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Selain aspek keselamatan dan pembentukan sahsiah, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut mengekalkan peruntukan RM30 juta bagi 2027 menerusi inisiatif Pemantapan Prasarana Sekolah Negeri Selangor untuk menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa.

Menurutnya, peruntukan RM30 juta yang disediakan tahun ini telah memanfaatkan lebih 800 sekolah bagi melaksanakan kerja menaik taraf kemudahan asas termasuk bilik darjah, dewan, kawasan sukan dan fasiliti kokurikulum.

“Lebih 800 sekolah berjaya melaksanakan kerja menaik taraf kemudahan dewan, sukan dan kemudahan lain untuk manfaat murid serta guru sepanjang tahun ini.

“Bagi 2027, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa di sekolah,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.