SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri terbuka untuk mengkaji cadangan menaik taraf Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) sebagai agensi khusus bagi memperkukuh penyelarasan pengurusan bencana di Selangor.
EXCO Pengurusan Bencana, Najwan Halimi berkata UPBN sedia ada yang bernaung di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.
Menurutnya, penyelarasan itu turut dilaksanakan menerusi Unit Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan pegawai daerah, selain kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Bagaimanapun, Najwan berkata cadangan menaik taraf UPBN perlu diteliti bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan struktur sedia ada serta pertambahan kos pentadbiran dan pengurusan.
“Kalau kita tubuh satu agensi dan pada masa sama sudah ada unit khusus untuk menguruskan bencana di peringkat negeri, kita khuatir ia menjadi bertindih kerana ada dua agensi menjalankan tugas yang sama.
“Jadi, kita lihat bagaimana peranan UPBN boleh diintegrasikan dan sekiranya ada keperluan untuk menaik taraf unit ini, kita boleh cadangkan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor di Dewan Annex, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di sini, hari ini, bagi mengulas cadangan penubuhan agensi khusus pengurusan bencana di peringkat negeri.
Cadangan itu dikemukakan Pengerusi Lembaga Penasihat Media Selangor, Tan Sri Johan Jaaffar yang turut mencadangkan agensi berkenaan diketuai seorang pengarah bagi menyelaras semua PBT dan agensi berkaitan.
Najwan berkata UPBN ketika ini turut menyelaras pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penglibatan agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Pengurusan PPS mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan tindakan dilaksanakan mengikut keperluan semasa tanpa perlu menunggu arahan Menteri Besar.
"Pegawai daerah mempunyai kuasa membuka PPS apabila diperlukan, manakala JKM bertanggungjawab menguruskan operasi pusat berkenaan dengan penyelarasan UPBN," katanya.








