
SHAH ALAM, 20 NOV: Pembangunan atlet para kini diselaraskan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sebagai persediaan mempertahan kejuaraan dalam Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2028.
EXCO Sukan Najwan Halimi berkata momentum kecemerlangan atlet juga mampu diperkukuh menerusi unit khusus yang diwujudkan MSN Selangor untuk menyusun semua aspek.
Jelasnya, tanggungjawab pembangunan atlet para diletakkan bawah majlis sukan negeri masing-masing mengikut arahan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara, bermula Januari lalu.
“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan atlet para dilaksanakan lebih tersusun, berterusan dan mempunyai hala tuju jelas, termasuk mengenal pasti bakat, program latihan serta persediaan menghadapi kejohanan berprestasi tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Najwan berkata pembangunan sukan berprestasi tinggi memerlukan masa, selain perancangan jangka panjang, komitmen berterusan dan sokongan daripada pelbagai aspek pembangunan.
Berikutan itu, katanya, MSN Selangor sentiasa merancang dan melaksanakan program pembangunan sukan berprestasi tinggi mengikut kesesuaian dan keperluan semasa, tergantung dana negeri. .
“Atas dasar itu, persediaan menghadapi Para SUKMA 2028 perlu dilihat sebahagian kesinambungan pembangunan sukan para negeri, dan bukannya sekadar persediaan menjelang temasya pertandingan.

“Tumpuan kita untuk memastikan atlet yang dibangunkan mempunyai laluan latihan dan sokongan yang konsisten agar potensi mereka dapat diterjemahkan kepada pencapaian yang membanggakan,” katanya.
September lalu, Selangor selaku tuan rumah menjuarai Para SUKMA 2026 dengan keseluruhan 200 pingat, melengkapkan kejuaraan berganda selepas menjuarai SUKMA 2026, sebulan sebelum itu.
Kontinjen negeri mengumpulkan 93 emas, 55 perak dan 52 gangsa, manakala naib johan Sabah dengan 69 emas, 51 perak dan 45 gangsa. Sarawak di tempat ketiga meraih 52 emas, 32 perak dan 54 gangsa.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor mencapai sasaran untuk mengembalikan kejuaraan di pentas SUKMA dan Para SUKMA, selain menjadi pencapaian bersejarah buat kontinjen negeri.
Lebih membanggakan, pungutan 93 emas itu jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 60 emas, sekali gus menunjukkan prestasi atlet tuan rumah yang konsisten sepanjang temasya.








