SHAH ALAM, 9 OKT: Sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai, dengan tarikh baharu sambutan akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor kini berada pada tahap tidak sihat, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan sekiranya aktiviti fizikal diteruskan.
“Keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program.
“Sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk budaya hidup aktif dan sihat, justeru penganjurannya tidak wajar diteruskan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu turut mengambil kira risiko terhadap peserta, petugas, sukarelawan, kanak-kanak serta golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.
Sehubungan itu, semua agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, pejabat belia dan sukan daerah serta rakan penganjur diminta mengambil maklum penangguhan berkenaan dan membuat penyelarasan sewajarnya.
Orang ramai juga diminta merujuk pengumuman rasmi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai penjadualan semula sambutan itu.
Mohd Najwan berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan jerebu dan merujuk nasihat pihak berkuasa berkaitan sebelum menentukan langkah selanjutnya.
Beliau menegaskan, penangguhan itu tidak bermakna komitmen terhadap agenda sukan diketepikan, sebaliknya bagi memastikan program dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat tanpa mendedahkan orang ramai kepada risiko kesihatan.
Dalam perkembangan berkaitan, semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor ditutup hari ini susulan keadaan jerebu.
Setakat 8 pagi tadi, sebanyak 38 kawasan pemantauan di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dengan Seremban merekodkan bacaan tertinggi iaitu 186.
Di Selangor, Johan Setia mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 182, diikuti Shah Alam (178), Petaling dan Banting (169), Klang (168) serta Kuala Selangor (145).







