SHAH ALAM, 27 JAN: Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos depan bakal tampil dengan konsep baharu yang lebih segar, bertenaga dan diharap menjadi penanda aras untuk kejohanan akan datang.
EXCO Sukan Najwan Halimi, berkata sebagai tuan rumah, Selangor tidak hanya menyasarkan kutipan pingat semata-mata, sebaliknya mahu memberikan pengalaman menyeluruh kepada semua kontinjen yang terlibat.

“Dari segi asas dan standard, penganjuran SUKMA sama sahaja di mana-mana negeri tetapi yang membezakan Selangor adalah pengalaman keseluruhan, bukan sekadar pertandingan.
“Selangor tidak mahu SUKMA hanya tumpu atlet sahaja tetapi bagaimana kita angkat pengajuran, libatkan belia, komuniti serta elemen kreatif.
“Kita jamin pembuka tirainya akan tampil kelainan. Konsep lebih segar, bertenaga malah mencerminkan identiti Selangor sebagai negeri moden dan progresif,” katanya kepada Media Selangor.
Najwan menambah, pihak penganjur juga akan memperkasa kemudahan, bakat atlet dan ekosistem sukan supaya temasya dwitahunan itu bukan sekadar selesai, tetapi meninggalkan legasi.
“Ini yang kita sedang rancang supaya SUKMA Selangor bukan sekadar tuan rumah tetapi satu penanda aras kepada semua,” katanya.
Ketika Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan semua untuk memberikan komitmen penuh terhadap penganjuran SUKMA 2026 agar temasya itu menjadi acara yang sentiasa diingati.
“Kita kena pastikan Ogos nanti, kita akan berjaya menangis sebarang isu pentadbiran atau pengurusan supaya SUKMA 2026 menjadi SUKMA yang diingati, beri kesan kepada penyatuan dan perpaduan rakyat,” katanya.

SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan, manakala PARA SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan hampir 300 acara dari 5 hingga 14 September.
Sebanyak 52 lokasi pertandingan di sembilan daerah akan digunakan, melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan swasta, termasuk Velodrom Nasional Negeri Sembilan.
Larian obor SUKMA dijangka bermula pada April ini, merentasi kesemua sembilan daerah di Selangor, bagi memeriahkan lagi sambutan temasya sukan terbesar di negeri ini.





