SHAH ALAM, 20 NOV: Empat daerah di Selangor iaitu Klang, Petaling, Kuala Selangor dan Gombak dijangka mengalami hujan lebat sehingga 6 petang ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan keadaan cuaca sama turut dijangka melanda Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor, Sarawak dan Sabah.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berlaku dalam tempoh lebih sejam.
Amaran berkenaan merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman sesawang www.met.gov.my, media sosial rasmi MetMalaysia atau aplikasi myCuaca.






