SHAH ALAM, 18 NOV: Paras air sungai di Meru, Klang terus meningkat, dengan dua stesen pemantauan merekodkan kenaikan lebih 0.2 meter dalam tempoh kurang dua jam, sekali gus melepasi tahap bahaya setakat 4.24 petang ini.
Berdasarkan data InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, bacaan di Stesen Pekan Meru meningkat daripada 4.24 meter pada 2.41 petang kepada 4.47 meter, manakala Pekan Meru (F2) naik daripada 4.29 meter kepada 4.501 meter.
Kedua-dua stesen berkenaan melepasi paras bahaya 4.2 meter, dengan trend aras air masih menunjukkan peningkatan.
Situasi itu berlaku ketika empat stesen pemantauan hujan di Klang merekodkan hujan lebat, dengan bacaan tertinggi sebanyak 57.5 milimeter dalam tempoh sejam di Pekan Meru.
Tiga lagi stesen ialah Pekan Meru (F2) dengan bacaan 48.5 milimeter, Jalan Bukit Payung (41.5 milimeter) dan Sungai Klang di Kampung Lombong (39.5 milimeter).
Sementara itu, tiga stesen di Kuala Selangor turut merekodkan paras air tahap bahaya, menjadikan keseluruhan lima stesen di Selangor berada pada tahap berkenaan.
Stesen Teluk Penyamun Jeti (F2) mencatatkan bacaan 6.253 meter berbanding paras bahaya 6.2 meter, manakala Parit Mahang (F2) merekodkan 4.551 meter berbanding paras bahaya 4.2 meter.
Pintu Air Ijok pula mencatatkan bacaan 3.95 meter, melepasi paras bahaya yang ditetapkan pada 3.7 meter.
Bagaimanapun, trend aras air di Teluk Penyamun Jeti dan Parit Mahang (F2) menunjukkan penurunan, manakala Pintu Air Ijok tidak mencatatkan perubahan trend.
Tiga lagi stesen berada pada tahap amaran, masing-masing di Parit Mahang dan Kampung Asahan (F2), Kuala Selangor serta Jambatan Sempadan Sabak Bernam/Teluk Intan (F2) di Sabak Bernam.
Dalam perkembangan berkaitan, lima stesen pemantauan hujan di Petaling turut mencatatkan hujan lebat, dengan bacaan tertinggi di RS Jelutong sebanyak 41 milimeter.
Empat lagi stesen ialah KDR Sandaran Permai (36 milimeter), Sungai Renggam Bung Hurris (32 milimeter), SMK USJ 13 (30.5 milimeter) dan Ayer Hitam Puchong (30 milimeter).
Di Sepang, Stesen Taman Mas Sepang (F2) turut merekodkan hujan lebat sebanyak 36 milimeter dalam tempoh sejam.
Secara keseluruhan, 10 stesen pemantauan hujan di Klang, Petaling dan Sepang mencatatkan hujan lebat berdasarkan kemas kini JPS pada 4.24 petang.







