Bukan sekadar membaca, PENSEL ajar pelajar berani bersuara

21 Nov 2026, 4:00 AM
Bukan sekadar membaca, PENSEL ajar pelajar berani bersuara
Bukan sekadar membaca, PENSEL ajar pelajar berani bersuara
Bukan sekadar membaca, PENSEL ajar pelajar berani bersuara

Lazimnya, bahan bacaan yang usai ditelaah disimpan kembali ke rak buku lalu dibiar terperap untuk tempoh panjang.

Lain ceritanya bagi pelajar tingkatan empat yang menyertai program Pencerahan Selangor (PENSEL). Tamat bacaan, mereka berbincang isi kandungannya mengikut bab secara berkumpulan.

Dipandu fasilitator, mereka dibahagi kepada dua kumpulan untuk mengupas intipati penulisan. Dari situ, mereka melontar pandangan baik pro mahupun kontra dengan idea asal penulis.

Mereka juga diberi frasa ungkapan tertentu yang dipetik dari mana-mana halaman naskhah berkenaan untuk diperhalusi, difahami mahupun dikritik.

Program PENSEL: Bedah buku di SMK Seksyen 18, Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amalan tersebut diakui agak asing dalam kalangan pelajar tingkatan empat, bahkan kelompok pembaca usia dewasa juga belum tentu memiliki pengalaman sedemikian.

Namun, rata-rata peserta PENSEL menggemari sesi perbincangan itu. Mereka bebas untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan kandungan sesebuah naskhah. Tidak seperti program atau kelab membaca lain, pandangan mereka didengari. Secara tidak langsung, interaksi sesama mereka mengasah akal fikir.

Program PENSEL: Bedah buku di SMK Seksyen 18, Shah Alam pada 13 Ogos 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Program PENSEL ini sangat bagus dan beri peluang pelajar seusia saya ini bersuara. Sekurang-kurangnya orang luar tahu apa kami rasa dan kami bukan ‘level’ (tahap) budak-budak,” kata Haniey Zaaralisa Hazri kepada Media Selangor.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam itu tidak takut-takut memberi pendapat.

Tidak ada salah dan betul dalam perbincangan selagi hujah berpandu kepada fakta.

“Contohnya sekarang kami membedah buku The Serviceberry, penulis kata bagus jika hanya memberi dan menerima. Tapi saya rasa kalau orang sama tara sahaja, siapa pula yang berada di bawah dan di atas?” katanya lagi.

Haniey Zaaralisa Hazri

Keseronokan itu juga yang mendorong Zulaikha Nor Ain Mat Zaki mengorbankan masa selepas kelas tamat semata-mata untuk menyertai program percuma satu jam itu. Meski penat belajar di sekolah, pelajar SMK Seksyen 18 Shah Alam itu terasa lebih bertenaga ketika bersama fasilitator PENSEL.

“Kami bukan dipaksa baca buku sahaja, tapi bila dalam kelas bedah buku, macam-macam aktiviti menyeronokkan kami buat. Kami semua bergerak ke sana sini. Jadi otak saya yang penat belajar jadi kembali segar dan bertenaga,” katanya yang sedang menelaah buku Cita Sempurna Warisan Sejarah.

Zulaikha Nur Ain Mat Zaki

Amirul Najwan Mohd Najib pula sebelum ini mengakui kurang membaca. Namun, sejak mengikuti PENSEL, minatnya terhadap buku bercambah, malah perbendaharaan kata beliau juga bertambah baik.

“Saya dapat kerjasama dalam pasukan. Bila kita bekerjasama dalam satu pasukan, kita dapat latih diri kita untuk bekerjasama dengan orang-orang dalam pasukan.

“Sebab bila sudah dalam alam pekerjaan, kita tak buat kerja seorang-seorang. Sebab kita buat kerja dalam kumpulan. Jadi saya rasa yakin sikitlah,” katanya.

Perkara paling diminati Amirul Najwan antaranya mencari ungkapan menarik atau berusaha memahami kalimah yang membawa maksud mendalam.

“Misalnya dalam buku (tulisan) Syed Hussein Alatas, ada ayat: 'walaupun citanya mengandungi cita sempurna tetapi caranya digerakkan oleh cita bencana…’

“Ayat itu sangat menarik, fasilitator meminta kami mencari apa maksud atau perumpamaan yang hampir sama dengan ayat tersebut. Kami kena berfikir dan cari idea,” katanya lagi.

Amirul Najwan Mohd Najib

Pengalaman sama dialami Nur Aliya Azra’i dari SMK Seksyen 19. Beliau banyak belajar pelbagai istilah baharu dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Melayu sekali gus menambah kosa katanya.

“Awalnya saya tengok buku-buku ini memang susah. Bahasanya tinggi, tak kira bahasa Melayu atau Inggeris. Tapi setelah saya belajar dan faham, rupa-rupanya sangat menarik.

“Sebenarnya bahasa Melayu saya tidak begitu fasih, tetapi akhirnya setelah sertai program ini, saya dapat skor A+ dalam peperiksaan,” katanya lagi.

Nur Aliya Azraâi

Fasilitator PENSEL, Novi Ma’rifatu Dayyana Iskandar pula berpandangan kelompok remaja memerlukan kegiatan interaktif untuk membantu mereka memahami sesebuah teks bacaan.

Justeru, pelajar tidak diminta membaca keseluruhan buku dalam tempoh singkat, sebaliknya kandungannnya dibahagi kepada bahagian kecil supaya mereka lebih menghayati dan memahami teks.

Pendekatan sedemikian juga secara tidak langsung mengubah tanggapan segelintir pihak membaca ialah perbuatan pasif, kata Novi Ma’rifatu Dayyana yang juga pensyarah di sebuah universiti tempatan.

“Membaca menjadi proses yang aktif apabila pelajar perlu memberi pendapat, mencari maksud perkataan, mempertahan pandangan dan mengaitkan isi buku dengan realiti kehidupan,” katanya yang berlatar belakang English for International Communication.

Fasi Novi Ma’rifatu Dayyana Iskandar

Norsyafiqah Muhamad Azmi, juga fasilitator, percaya program PENSEL yang dilancar sejak Julai lalu berupaya membentuk pemikiran kritis dan analitik dalam kalangan pelajar.

“Dalam sistem pembelajaran yang kadangkala terlalu terikat dengan format dan struktur, ruang untuk pelajar membina pendapat sendiri mungkin tidak begitu luas. Program seperti ini membuka ruang berkenaan.

“Daripada tidak mengetahui apa itu ekonomi, pelajar akhirnya boleh membincangkan sendiri bagaimana sesuatu sistem ekonomi memberi kesan kepada kehidupan masyarakat,” katanya.

Norsyafiqah Muhamad Azmi

Menurut Norsyafiqah yang juga bergiat dalam pendidikan percuma kepada golongan berpendapatan rendah, pelajar mula suka memberi pandangan daripada sekadar membaca tentang sesuatu isu.

“Bukan sekadar tahu apa yang ditulis, tetapi tahu bagaimana mahu memikirkannya. Buku berat tidak semestinya terlalu sukar. Menariknya, kebanyakan buku yang dipilih untuk program ini bukan karya ringan,” katanya.

Norafrina Syamsul Azwan bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan program PENSEL: Bedah buku di SMK Seksyen 19, Shah Alam pada 11 Ogos 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengurus PENSEL, Norafrina Syamsul Azwan pula menjelaskan program itu bukan sekadar mengajar pelajar membaca dan mengupas isi kandungannya sebalik peserta diminta menghasilkan esei dan karya terpilih akan dihimpun untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

“Mereka bukan hanya menjadi pembaca, tetapi turut diberi peluang menjadi penulis. Di situlah letaknya satu lagi perubahan penting. Daripada menerima ilmu, mereka belajar mengolah ilmu menjadi idea dan akhirnya menjadi karya,” katanya.

Grafik Azwa Abdul Malik
Grafik Azwa Abdul Malik

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.