SHAH ALAM, 10 JUL: Program Pencerahan Selangor (PENSEL) yang mendedahkan pelajar kepada buku terkenal berlainan genre berupaya membentuk generasi yang memiliki minda berkelas dunia.
Menurut Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, peserta berpeluang menggali kandungan karya sekali gus mencambahkan pemikiran kreatif.
Dr Faisal Tehrani percaya generasi baharu masa kini perlu dilengkapi bahan bacaan bermutu dan naskhah penting ekoran mereka berdepan cabaran bersaing dengan dunia digital dan media massa.
“Kita tidak mahu Selangor maju dari aspek negeri semata-mata sebaliknya juga mahu rakyatnya maju dari segi pemikiran. Kita tidak mahu maju di permukaan tetapi minda ketinggalan.

“Ini akan bentuk minda kelas dunia seiring pembangunan negeri. Jadi, saya lihat inisiatif Kerajaan Negeri ini sangat bagus kerana dapat bentuk budaya membaca di samping pembacanya berfikiran ke depan,” katanya kepada Media Selangor.
Pada 7 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan PENSEL yang menetapkan penyertaan 800 pelajar tingkatan empat kepada perbincangan lima buku terkenal.
Naskhah tersebut ialah The Serviceberry (alam sekitar), Cita Sempurna Warisan Sejarah (kenegaraan), Sejarah Selangor 1766-1939 (sejarah), 1984 (kesusasteraan) dan Edible Economics (ekonomi).
Dr Faisal yang juga penulis terkenal yakin program itu menggalakkan minat membaca dalam kalangan pelajar seterusnya memastikan generasi itu tidak ketinggalan..
Beliau memberitahu PENSEL juga menyokong minat sesetengan pelajar yang mula mencebur diri dalam bahan bacaan berat dan budaya wacana yang memerlukan ketelitian serta pemahaman mendalam.
“Ketika di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, saya bertemu pelajar tingkatan dua, tiga yang minatnya kepada buku berat. Jadi, ini satu perkara yang perlu kita terap supaya ia lebih meluas.
“Macam buku Syed Hussein al-Attas. Dia sendiri seorang tokoh sosiologi yang terlibat dalam masyarakat. Jadi membaca karya Syed Hussein, J.M. Gullick, ia membawa masyarakat untuk berfikir lebih maju,” katanya.









