PENSEL himpun pelajar pelbagai latar belakang asah pemikiran kritis

7 Jul 2026, 11:00 AM
PENSEL himpun pelajar pelbagai latar belakang asah pemikiran kritis

SUBANG JAYA, 7 JULAI: Pelajar tingkatan empat yang terpilih menyertai program Pencerahan Selangor (PENSEL) terdiri dari pelbagai latar belakang bagi membolehkan lebih banyak perspektif dapat disentuh.

Pengarah program Ainil Norazman berkata pemilihan dibuat pihak sekolah itu juga dilihat mampu mengeluarkan buah pandangan berbeza sekali gus melahirkan idea kreatif dan bermanfaat.

“Program secara fizikal dan akan dibimbing oleh fasilator terlatih. Mereka akan pergi ke sekolah dan tubuhkan Kelab Buku. Setiap kelab akan ada kira-kira 20 pelajar daripada pelbagai latar belakang supaya pandangan mereke berbeza.

“Dengan bantuan profesional, kita akan dapat fokus macam mana untuk menulis dengan baik, hasilkan karya yang baik selain pelajari seni dalam penulisan. Ini penting supaya mereka faham dan boleh bincangkan kandungan karya,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan PENSEL yang dikendalikan Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) bersama TYMBA Education Group (TYMBA).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn Bhd Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree (dua kanan) melakukan simbolik perasmian Program Pencerahan Selangor 2026 (PenSel) kerjasama strategik diantara TYMBA Education Group dan Media Selangor di The Saujana Hotel Shah Alam pada 7Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Mengulas lanjut, Ainil berkata program itu juga berpotensi membentuk generasi berani berfikir, bertanya dan menyuarakan pendirian dengan yakin dan beradap selain turut merangka masyarakat matang.

“PENSEL bukan hanya galakkan budaya membaca tetapi dedahkan kepada keyakinan membina keupayaan untuk berkarya, menulis secara kreatif,” katanya.

PENSEL dilaksanakan bulan ini hingga Mac tahun depan bagi menggalakkan tabiat suka membaca dan pemikiran kritis dengan menyasarkan penyertaan kira-kira 800 pelajar tingkatan empat di seluruh negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Program Pencerahan Selangor 2026 (PENSEL) kerjasama strategik antara TYMBA Education Group dan Media Selangor di The Saujana Hotel Shah Alam pada 7 Julai 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Sepanjang dijayakan, program akan membedah lima buku iaitu The Serviceberry karya Robin Wall Kimmerer (alam sekitar) dan Cita Sempurna Warisan Sejarah karya Syed Hussain al-Attas ( kenegaraan.

Turut dibincangkan buku Sejarah Selangor 1766-1939 karya J.M. Gullick (sejarah), 1984 karya George Orwell (kesusasteraan) dan Edible Economics karya Ha-Joon Chang (ekonomi).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.