El Nino: Semua empangan Selangor kekal paras selamat hingga April 2027

20 Nov 2026, 4:25 AM
El Nino: Semua empangan Selangor kekal paras selamat hingga April 2027
El Nino: Semua empangan Selangor kekal paras selamat hingga April 2027

SHAH ALAM, 20 NOV: Semua empangan di Selangor dijangka mampu mengekalkan paras simpanan selamat sehingga April tahun depan bagi mendepani kemungkinan kekurangan hujan susulan fenomena El Nino.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim memberitahu setiap empangan mencatatkan kapasiti takungan melebihi 82 peratus berdasarkan rekod pemantauan sehingga 4 November lalu.

“Semua empangan juga masih mampu mencapai kapasiti simpanan air yang selamat sehingga April 2027 dengan mengambil kira jangkaan kekurangan hujan maksimum semasa fenomena El Nino,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao berkenaan impak jerebu rentas sempadan dan fenomena super El Nino terhadap bekalan serta permintaan air negeri.

Menurutnya, keupayaan pengeluaran air terawat Selangor dianggarkan sebanyak 6,500 juta liter sehari (JLH), berbanding permintaan sebanyak 5,370 JLH berdasarkan unjuran 2026.

Ir Izham menjelaskan keadaan tersebut memberikan lebihan kapasiti sebanyak 1,130 JLH dengan margin rizab air sebanyak 17.4 peratus.

“Berdasarkan data sehingga September lalu, kadar penggunaan air di Selangor kekal konsisten dan tiada perubahan ketara berbanding unjuran awal tahun.

“Setakat data yang tersedia, belum terdapat petunjuk bahawa jerebu rentas sempadan dan fenomena super El Nino menyebabkan perubahan ketara pada kadar penggunaan air atau rizab margin bekalan air,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga sentiasa memantau ketersediaan sumber air mentah bagi memastikan bekalan air kekal mencukupi.

Katanya, langkah penyesuaian diambil antaranya pengaktifan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) di Bestari Jaya apabila paras takungan empangan turun sehingga 80 peratus bagi membantu memanjangkan jangka hayat simpanan empangan.

Selain itu, Selangor mempunyai lima kawasan takungan yang dilengkapi infrastruktur pembekalan air menerusi Skim Jaminan Air Mentah (SJAM), manakala 20 kolam sumber air alternatif diwartakan sebagai kawasan zon perlindungan.

Kerajaan Negeri turut mengenal pasti lebih 140 kolam takungan bawah Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dengan kapasiti simpanan air mentah sebanyak 167 juta meter padu (MCM) sebagai sumber tambahan ketika musim kering.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.