Selangor sedia hadapi musim kering, empangan mampu bertahan enam bulan

12 Feb 2026, 3:00 AM
Selangor sedia hadapi musim kering, empangan mampu bertahan enam bulan

SHAH ALAM, 12 FEB: Selangor bersedia menghadapi musim panas dan kering dengan semua empangan negeri mempunyai keupayaan takungan yang mencukupi untuk bertahan sehingga enam bulan.

EXCO Infrastruktur, Dato’ Izham Hashim berkata, kesiapsiagaan itu melibatkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi berkaitan bagi memastikan kelangsungan bekalan air mentah ke loji rawatan air (LRA) sepanjang tempoh musim kering.

“Keupayaan dan jangka hayat takungan empangan-empangan ini adalah sehingga enam bulan ke paras kritikal tertakluk kepada jumlah pelepasan air berdasarkan keperluan Loji Rawatan Air (LRA),” katanya menerusi kenyataan pada 9 Februari lalu.

Menurut Izham, Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai langkah awal bagi memastikan empangan berada pada tahap optimum sebelum bermulanya Monsun Barat Daya (MBD) yang dijangka bermula Mei ini.

Antara langkah diambil ialah pelaksanaan pelepasan air terkawal bagi tujuh empangan negeri bermula Ogos hingga Oktober tahun lalu bagi mengekalkan kapasiti empangan pada paras antara 85 hingga 90 peratus.

Langkah itu membolehkan empangan menampung lebihan hujan sepanjang November dan Disember lalu sebagai persediaan menghadapi musim kering.

“LUAS memastikan peratusan kapasiti empangan mencapai peningkatan sehingga 100 peratus iaitu pada bulan Januari hingga April 2026 bagi kesiapsiagaan menghadapi Monsun Barat Daya,” katanya.

EXCO Infrastruktur, Dato' Ir Izham Hashim. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan fenomena musim panas dan kering akibat MBD akan bermula pada Mei dan berlarutan sehingga September 2026.

Ia menyebabkan kelembapan udara rendah dan penurunan kadar hujan di kebanyakan kawasan.

Keadaan tersebut sudah mula dirasai di beberapa lokasi di seluruh negara dengan Perlis merekodkan tempoh tanpa hujan selama 30 hari, manakala daerah Kuala Langat di Selangor mencatatkan 23 hari tanpa hujan.

Mengulas keadaan semasa empangan, Izham berkata setakat 9 Februari lalu, kapasiti air empangan di seluruh negeri berada pada tahap baik, dengan Empangan Semenyih mencapai paras 100 peratus manakala empangan lain merekodkan takungan melebihi 74 peratus.

Beliau berkata pemantauan harian kapasiti empangan turut dilaksanakan melalui pengaktifan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK), yang membolehkan pelepasan air ke empangan sehingga paras 80 peratus sekiranya kapasiti menurun.

Pelepasan air tersebut melibatkan kolam-kolam yang diwartakan di bawah Seksyen 48 Enakmen LUAS sebagai zon perlindungan, termasuk Kolam HORAS 600, Kolam KL Larut dan Kolam Hang Tuah.

“Pengoperasian empangan pada masa ini adalah selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengurusan air semasa musim kering Negeri Selangor yang bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber air alternatif dengan keupayaan bekalan semasa sehingga tiga bulan,” katanya.