SHAH ALAM, 19 NOV: Tenaga Nasional Berhad (TNB) merekodkan kerugian lebih RM62.7 juta akibat kecurian kabel membabitkan 439 kes dari Januari 2023 hingga September 2026.
EXCO Infrastruktur, Dato’ Ir Izham Hashim berkata kes kecurian kabel terus meningkat setiap tahun, dengan 166 kejadian dilaporkan dari Januari hingga September tahun ini.
Menurutnya, Cheras merekodkan kes tertinggi sebanyak 45, diikuti Bangi (37) dan Pelabuhan Klang (24), mendorong TNB mempergiat rondaan aset menerusi petugas kawasan, kontraktor dilantik serta polis bantuan dengan tumpuan di lokasi berisiko dan kawasan yang kerap berlaku kecurian.
“Rondaan ini meliputi pemeriksaan keadaan kabel, peti pembekal elektrik, pencawang serta komponen berkaitan bagi mengesan tanda pencerobohan, kehilangan aset dan kerosakan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kebolehpercayaan bekalan.

“Hasil rondaan ini menjadi asas untuk tindakan susulan bagi pembaikan, pemulihan dan pengukuhan perlindungan aset. Kerjasama pihak berkuasa turut diperkukuh untuk menyokong pencegahan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi berisiko tinggi,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Sementara itu, Izham memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut merekodkan 38 kes kecurian kabel serta peralatan rumah pam dan pintu air dari 2023 hingga 2026, membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.
“Klang mencatatkan kerugian tertinggi sebanyak RM667,000 melibatkan lapan kes, diikuti Kuala Langat (17 kes, RM499,000), Kuala Selangor (10 kes; RM318,000) dan Sepang (tiga kes; RM47,000),” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dianggarkan mengalami kerugian antara RM50,000 hingga RM100,000 sebulan bagi setiap kes kecurian kabel yang berlaku di sembilan daerah di Selangor.







