Selangor kemuka cadangan baik pulih sistem saliran pam sawah

20 Nov 2026, 3:00 AM
Selangor kemuka cadangan baik pulih sistem saliran pam sawah
Selangor kemuka cadangan baik pulih sistem saliran pam sawah

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri bercadang menambah baik sistem saliran pam di kawasan tanaman padi yang uzur melibatkan kos hampir RM1 bilion, dengan sebahagiannya melibatkan cadangan pengambilalihan tanah.

EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata pihaknya sedang meneliti cadangan penswastaan termasuk memohon kerajaan persekutuan memberi pertimbangan serius untuk melaksanakan pelan transformasi berkenaan.

“Sistem saliran kita sudah lama. Ia melibatkan parit dan pembentung, dan juga melibatkan sistem pam tetapi ia sudah uzur, sudah lebih 30 tahun. Saya lihat banyak yang patah dan kita juga perlukan kolam simpanan air yang lebih besar.

“Semua ini kita sudah buat kajian dan kita sudah hantar kepada kerajaan Pusat. Semua sekali berjumlah hampir RM1 bilion, dengan sebahagiannya melibatkan cadangan kos pengambil alihan tanah sebanyak RM600 juta.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Dato' Izham Hashim pada sidang akbar selepas Majlis penutup Bengkel Friend of Rivers (FOR) Negeri Selangor 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC) pada 22 Oktober 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Tetapi belum dapat respon lagi daripada kerajaan pusat. Mungkin kita boleh buat kaedah sama seperti di Kedah dan bayar sikit-sikit kepada kerajaan. Saya rayu kepada kerajaan persekutuan supaya dapat beri pertimbangan serius,” katanya kepada Media Selangor.

Pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor, Dato’ Menteri Besar mahu memberi penekanan terhadap penyelesaian isu tanaman padi melalui beberapa pendekatan strategik dan pemantauan rapi pihak berkaitan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan masalah petani secara tersusun serta menyeluruh, dan bukan sekadar menyampaikan insentif bantuan tunai kepada golongan terbabit.

Mengulas mengenai bantuan pertanian, beliau menjelaskan, kerajaan persekutuan membelanjakan subsidi RM3,200 bagi setiap hektar tanaman padi di negara ini, yang diberi kepada pesawah dalam bentuk bantuan baja dan racun pertanian.

Ir Izham berkata tanaman padi antara sektor pertanian yang menerima subsidi paling tinggi namun memperoleh hasil rendah berikutan pelbagai cabaran semasa.

Di Selangor, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM3 juta untuk membantu memulihkan kes jangkitan penyakit padi yang melanda tanaman padi di sekitar Sabak Bernam dan Kuala Selangor pada 2024.

“Sebagai contoh pada dua tiga tahun lepas, berlaku serangan penyakit. Kita keluarkan RM3 juta untuk kerja pemulihan. Kita juga bagi skim bantuan iaitu setiap satu hektar, pesawah terima RM500. Semua ini berjumlah lebih RM8 juta. Ini kita bantu sebagai sokongan kepada mereka.”

Pada 2024, Kerajaan Selangor menyalur bantuan RM8.9 juta kepada pesawah bagi mengurangkan beban kerugian mereka rentetan serangan penyakit terhadap tanaman padi.

Peruntukan melalui inisiatif Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) itu disalurkan pada kadar RM500 sehektar iaitu RM300 bayaran tunai dan RM200 bayaran benih padi.

Sekilas Fakta Padi Malaysia 2025. GRAFIK FARH AZILA MUSTAPHA

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.