SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri merekodkan 76,865 penempatan pekerjaan menerusi pelbagai program kerjaya termasuk bagi golongan rentan dari Januari 2025 hingga Oktober tahun ini.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata pencapaian itu hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), majikan dan industri bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di Selangor.
Menurutnya, 38,731 penempatan pekerjaan direkodkan sepanjang 2025, manakala 38,134 lagi dicatat dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah Karnival Kerjaya Jelajah JobCare Selangor, Karnival Kerjaya JobCare Istimewa Selangor, Program Kerjaya Selangor-Mega JobCare Selangor 2026 dan Selangor Career Outreach (SCOUT) Talent Expo 2026.
“Melalui program ini, akses rakyat Selangor kepada maklumat dan peluang pekerjaan dapat diperluas, di samping meningkatkan pendedahan pencari kerja terhadap keperluan dan perkembangan semasa pasaran buruh.

“Program ini turut menyediakan perkhidmatan sokongan seperti Klinik Resume dan Kaunseling Kerjaya bagi meningkatkan tahap kebolehpasaran, memperkukuh persediaan menghadapi proses pengambilan pekerja serta meningkatkan peluang memperoleh pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran mereka,” katanya.
Kenyataan berkenaan dibacakan EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah mewakili Papparaidu pada sesi pertanyaan lisan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menerusi Belanjawan Selangor tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penambahbaikan program jelajah karnival kerjaya termasuk menerusi program pensijilan dan pembangunan kemahiran.
RM1 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif berkenaan sebagai antara usaha Kerajaan Negeri menangani isu pengangguran.
Pada Jun lalu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKESO serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.









