Hilang kerja bukan pengakhiran

10 Jul 2026, 2:13 AM
Hilang kerja bukan pengakhiran

Kehilangan pekerjaan sering dianggap sebagai titik jatuh dalam kehidupan seseorang. Namun dalam perspektif Islam, ia boleh menjadi titik mula kepada fasa yang lebih matang, berdikari dan lebih dekat kepada Allah SWT.

Islam tidak pernah meletakkan umatnya dalam keadaan pasif, sebaliknya menggalakkan usaha, kerja keras dan pencarian rezeki yang halal melalui pelbagai jalan yang dibenarkan syarak, termasuk bidang keusahawanan dan perniagaan.

Al-Quran secara jelas menghubungkan antara ibadah dan usaha mencari rezeki. Firman Allah SWT:

“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurniaan Allah serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Jumu‘ah: 10)

Ayat ini memberi keseimbangan antara ruh ibadah dan dunia pekerjaan. Seorang Muslim bukan hanya beribadah di masjid, tetapi juga keluar ke dunia untuk membina kehidupan melalui usaha yang halal.

Allah SWT juga menegaskan prinsip keadilan dalam perniagaan:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan secara reda-meredai.” (Surah al-Nisa’: 29)

Ayat ini menjadi asas besar dalam ekonomi Islam: perniagaan mestilah berasaskan kerelaan, kejujuran dan bebas daripada penipuan.

Sebelum diangkat menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW sendiri merupakan peniaga yang berjaya dan dipercayai. Kejujuran Baginda menyebabkan masyarakat Mekah menggelarnya Al-Amin.

Selepas kerasulan, Baginda tidak meninggalkan urusan ekonomi umat. Bahkan Baginda membimbing para sahabat agar menjadi individu yang kuat ekonomi, bukan bergantung kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada.” (Riwayat al-Tirmizi)

Jalan ke syurga

Hadis ini menunjukkan bahawa perniagaan bukan kerja kelas kedua. Ia boleh menjadi jalan ke syurga jika dipenuhi nilai amanah dan integriti. Dalam hadis lain:

“Tidaklah seseorang memakan makanan yang lebih baik daripada hasil usaha tangannya sendiri.” (Riwayat al-Bukhari)

Ini menegaskan nilai maruah diri dalam Islam bahawa bekerja dengan tangan sendiri lebih mulia berbanding bergantung kepada bantuan orang lain tanpa keperluan mendesak.

Ramai sahabat Rasulullah SAW adalah usahawan berjaya. Antaranya ialah Saidina Uthman bin Affan yang merupakan pedagang besar dalam bidang import dan eksport. Kekayaannya digunakan untuk membiayai tentera Islam dan membantu masyarakat.

Saidina Abdurrahman bin ‘Auf pula memulakan hidup di Madinah tanpa harta, tetapi berjaya menjadi antara hartawan besar melalui perniagaan yang jujur, disiplin dan tidak bergantung kepada sedekah.

Ini menunjukkan bahawa kehilangan pekerjaan atau permulaan yang miskin bukan penghalang untuk berjaya dalam perniagaan.

Dalam kerangka Maqasid Syariah, keusahawanan bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi satu mekanisme untuk menjaga kesejahteraan manusia.

Menurut Abu Ishaq al-Shatibi, syariat Islam diturunkan untuk membawa maslahah dan berusaha menghilangkan kemudaratan. Dalam konteks ekonomi, pekerjaan dan perniagaan termasuk dalam pemeliharaan Hifz al-Mal (penjagaan harta).

Tanpa pendapatan yang halal, masyarakat akan terdedah kepada kemiskinan, ketidakstabilan sosial dan kebergantungan berlebihan.

Sementara itu, Muhammad al-Tahir Ibn Ashur menegaskan bahawa pembangunan ekonomi adalah sebahagian daripada kemuliaan tamadun Islam.

Menurut beliau, kesejahteraan manusia bukan hanya pada ibadah ritual, tetapi juga pada kemampuan mereka membina kehidupan yang bermaruah.

Dalam sejarah pemikiran Islam, Ibn Khaldun telah menekankan bahawa ekonomi adalah asas kepada kekuatan sesebuah tamadun. Dalam Muqaddimah, beliau menjelaskan bahawa kemajuan sesebuah negara bergantung kepada aktiviti ekonomi yang aktif, termasuk perdagangan dan keusahawanan.

Apabila ekonomi lemah, masyarakat menjadi rapuh, dan tamadun akan merosot. Maka keusahawanan bukan sekadar pilihan individu, tetapi asas kepada kekuatan umat.

Kaedah fiqh

Islam menyediakan kaedah fiqh yang sangat relevan dalam dunia keusahawanan moden.

Antaranya adalah kaedah yang berbunyi: “kemudaratan mesti dihilangkan” - kehilangan pekerjaan adalah bentuk mudarat ekonomi. Maka mencari alternatif seperti berniaga adalah jalan mengurangkan kesusahan hidup.

Selain itu, kaedah yang berbunyi: “Kesukaran membawa kemudahan” - Islam tidak membebankan seseorang yang diuji dengan kesempitan. Justeru, memulakan perniagaan kecil seperti dropship, servis digital, makanan rumahan atau freelancing adalah dibenarkan dan digalakkan.

Demikian juga, kaedah yang berbunyi: “Segala perkara bergantung kepada niat” - jika perniagaan dilakukan dengan niat membina kehidupan halal, menyara keluarga dan mengelakkan kebergantungan, maka ia menjadi ibadah.

Kaedah yang juga amat penting juga, iaitu kaedah yang berbunyi: “Adat boleh menjadi hukum” - model perniagaan moden seperti e-dagang, pemasaran digital dan platform aplikasi adalah harus selagi tidak melanggar syarak.

Bagi individu yang kehilangan kerja, Islam memberikan jalan yang sangat luas. Langkah pertama ialah mengubah mentaliti daripada ‘mencari kerja’ kepada ‘mencipta kerja’.

Antara langkah praktikal, seperti kenal pasti kemahiran diri. Contohnya memasak, menulis, mengajar, reka grafik atau servis teknikal.

Demikian juga, mulakan kecil tetapi konsisten. Rasulullah SAW mengajar bahawa amalan kecil yang berterusan lebih dicintai Allah.

Tidak diabaikan bahawa gunakan platform moden, seperti media sosial, WhatsApp Business, Shopee, TikTok Shop dan lain-lain adalah ruang pemasaran yang halal.

Dalam pada itu pula, perlu menjaga integriti. Hal ini kerana, kejujuran adalah modal utama dalam perniagaan Islam.

Setelah berusaha, perlu ada rasa tawakkal selepas usaha. Hal ini kerana, rezeki bukan hanya datang dari usaha, tetapi dari Allah SWT.

Sebagai kesimpulan, perlu ditegaskan bahawa perniagaan dalam Islam bukan sekadar aktiviti ekonomi, tetapi ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah SWT melalui usaha, kejujuran dan manfaat kepada masyarakat.

Kehilangan pekerjaan bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada peluang yang lebih luas jika disertai dengan ilmu, kesungguhan dan tawakal.

Islam telah menunjukkan contoh melalui al-Quran, hadis, Rasulullah SAW, para sahabat serta diperkukuhkan oleh pemikiran sarjana seperti Abu Ishaq al-Shatibi, Muhammad al-Tahir Ibn Ashur dan Ibn Khaldun bahawa ekonomi dan keusahawanan adalah nadi kepada kekuatan individu dan tamadun.

Sesiapa yang diuji dengan kehilangan pekerjaan, jangan melihatnya sebagai kegagalan. Ia mungkin adalah panggilan untuk memulakan perjalanan baru sebagai seorang usahawan yang membina rezeki dengan tangan sendiri, dan pada masa yang sama mencari redha Allah SWT.

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.