Rancangan Selangor Pertama enjin pacu ekonomi

23 Jul 2026, 8:00 AM
Rancangan Selangor Pertama enjin pacu ekonomi

PASCA Covid-19 menyaksikan seluruh dunia bergelut untuk bangkit semula, Selangor tidak terkecuali.Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang bermula 2021 dan dilancar pada Jun tahun berikutnya sehingga 2025 antara iltizam Selangor bagi memelihara kemakmuran dan melestari pembangunan.

RS-1 adalah hala tuju pembangunan sosioekonomi dan pengukuhan sistem perkhidmatan demi kepentingan rakyat. Sebanyak 282 projek, program dan inisiatif (PPI) diperkenal. Setakat 31 Disember 2025, sebanyak 79 peratus keseluruhan PPI dilaksanakan sepenuhnya.

Selain membawa manfaat ekonomi dan sosial kepada segenap lapisan rakyat, rancangan tersebut memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri kuasa besar ekonomi negara.

Menjelang pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dijadual bulan depan, wartawan NADIAH ZAMLUS menyenarai 15 PPI terpilih yang mengangkat Selangor sebagai “Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur”.

Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC)

Bertujuan menjadikan Selangor peneraju industri semikonduktor negara dengan jangkaan pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion. IC pertama dibina di Bandar Puteri Puchong dan menempatkan 12 firma, termasuk syarikat tempatan serta antarabangsa dari China, Australia, Amerika Syarikat dan Perancis.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sedang melihat robot di Majlis Peluncuran Malaysia Semiconductor IC Design Park 2 pada 6 November 2025 di Coplace 9, Cyberjaya.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Seramai 302 jurutera diambil bekerja termasuk 80 peratus graduan baharu. Ia sekali gus mengurangkan penghijrahan cendekiawan atau 'brain drain' dalam industri semikonduktor negara. IC kedua di Cyberjaya pula bakal dilancarkan pada tahun ini.

Taman Aero Selangor (SAP)

Melibatkan kawasan seluas 1,011.7 hektar di Ladang Sepang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis. Projek itu akan mewujudkan lebih 32,000 peluang kerja berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030. Nilai pembangunan kasarnya (GDV) dianggar RM2.3 bilion. Ia akan dibangunkan secara berfasa mengikut kesediaan infrastruktur dan permintaan pelabur.

Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Untuk fasa pertama, 80.94 hektar akan dibuka kepada pelabur. GE Aerospace tampil penyewa utama yang akan membangunkan kemudahan seluas 40 hektar merangkumi pusat ujian enjin dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pasaran Asia Pasifik.

Rancangan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA)

Dilancar pada 2023 yang tertumpu kepada daerah di utara negeri. Enam projek utama dirancang meliputi 1,317 hektar tanah yang dijangka mencipta 3,600 pekerjaan berpendapatan tinggi dan berupaya menarik pelaburan RM1.9 bilion.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melawat pameran ketika majlis pelancaran Wilayah Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) di Kampung Parit Sepuloh, Sabak Bernam pada 9 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Antara projek utama Projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Selangor (SILP) bakal memberi nilai tambah dasar keterjaminan makanan seperti Gudang Makanan Selangor. Pada 2024, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menerima Anugerah Kelestarian Forward Faster Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hasil usaha memperkasa masyarakat tempatan dan membangunkan ekosistem mampan di Sabak Bernam.

Selangor Saring

DENGAN peruntukan RM1.5 juta ketika dilancarkan ketika pandemik Covid-19 pada 2021, kira-kira 5,000 individu menerima manfaat. Pada tahun berikutnya, seramai 45,000 penduduk memperoleh manfaat dalam fasa pertama pelaksanaan.

Orang ramai mendapatkan perkhidmatan percuma dalam program Selangor Saring DUN Subang Jaya di Dewan MBSJ, Subang Jaya pada 8 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Dalam Belanjawan Selangor 2026, kira-kira 8,000 rakyat bakal menerima manfaat melalui dana RM2.5 juta. Saringan terkini meliputi pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing, swab pangkal rahim, ujian prostat, mamogram, pemeriksaan mata, gigi, telinga, fisioterapi serta ujian darah okult najis imonukimia (iFOBT).

Tapak loji sisa kepada tenaga (WTE)

Loji pertama dibina di Jeram, Kuala Selangor terbesar di Asia Tenggara. Ia mula beroperasi Mei lalu dan menguruskan 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga sehingga 28 megawatt (MW). Projek itu penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah ekoran peningkatan jumlah sisa pepejal mencecah kira-kira 8,000 tan sehari.

Pandangan dari udara Loji Sisa Ke-Tenaga 1 (WTE) di Jeram Kuala Selangor pada 12 Jun 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Usaha Worldwide Holdings dan Shanghai Electric Engineering mengubah sisa domestik kepada penghasilan tenaga untuk 200,000 unit rumah. Selangor sedang membina WTE Jeram 2 yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini.

Gombak Hulu Langat Geopark (GHLG)

Taman seluas 112,955 hektar merentasi kawasan Gombak dan Hulu Langat diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan ketujuh. Ia menjadi tarikan pelancongan ekoran lokasi itu didominasi batuan granit banjaran utama berusia antara 200 hingga 220 juta tahun. Selain itu, batuan pliestosen akhir (di Batu Caves) yang paling selatan di benua Asia berusia 350 hingga 500 juta tahun. Lokasinya di Permatang Kuarza Gombak Selangor ada timbulan kuarza terpanjang di Asia Tenggara sejauh 14 kilometer dan lombong arang batu tertua di Malaysia di Batu Arang.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan Pembentangan Sekolah Geopark oleh pelajar ketika program Gagasan Rumpun Selangor Daerah Hulu Langat Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat pada 13 Mei 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selangor berusaha mendapat pengiktirafan GHLG sebagai UNESCO Global Geopark. Proses penilaian semula geopark kebangsaan dijadual pada Oktober. Kerajaan Negeri memperuntuk RM2 juta menerusi Belanjawan Selangor 2026 bagi menyokong usaha pencalonan tersebut.

Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)

Inisiatif percuma bagi memastikan anak-anak dari kalangan keluarga berpendapatan rendah serta keluarga di luar bandar memperoleh peluang saksama. Sehingga kini, seramai 160,000 pelajar sekolah menengah dan 20,000 murid sekolah rendah menerima manfaat.

Buku modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS). Foto Facebook Jabatan Pendidikan Negeri Selangor

PTRS menyumbang kepada peningkatan gred purata negeri (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Selangor selama tiga tahun berturut-turut, daripada 4.67 pada 2023, kepada 4.59 (2024) dan kini 4.52 (2025). Inisiatif ini berkembang daripada 177 sekolah yang mengambil bahagian pada 2021 kepada 189 (2022) dan 225 2023.

Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

Terletak di Seksyen 13, Shah Alam, projek itu dijalankan dalam tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029. Fasa pertama melibatkan perobohan, fasa kedua merangkumi pembinaan bangunan teater tertutup, ruang niaga, sayap sukan serta sayap belia yang bermula pertengahan 2027.

Grafik Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA)

Fasa terakhir, pembinaan terminal bersepadu dan hotel yang dijadual bermula Januari 2028 hingga Disember 2029. Ia bakal dilengkapi pelbagai kemudahan awam melalui pembahagian 40 peratus rekreasi dan kemudahan sukan (60 peratus).

Antaranya gelanggang tertutup, dewan serba guna, hotel, masjid, ruang acara dan ruang jualan. Pembinaannya mengambil kira risiko banjir dan keperluan stadium bertaraf antarabangsa berkapasiti antara 35,000 hingga 45,000 penonton.

Rumah Selangorku

Selangor berusaha memastikan setiap rakyat ada peluang memiliki rumah sendiri. Rumah Selangorku menyasarkan pembeli rumah pertama berpendapatan isi rumah kurang RM10,000 sebulan. Harga bermula RM42,000 hingga RM250,000 berdasarkan lima jenis unit berbeza dalam pelbagai saiz dan spesifikasi.

Penerima rumah Selangorku Amirul Zahin, 30 (kanan) bersama ibunya Jeliah Muhamad, 54 (tengah) di rumah mereka selepas majlis penyerahan kunci 420 unit Pangsapuri Selangorku@Seri Temenggung di Gombak pada 22 September 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Rumah Selangorku dibina berhampiran kemudahan asas bagi memenuhi keperluan penduduk. Setakat Oktober, sebanyak 142 projek Rumah Selangorku melibatkan 40,737 unit telah siap manakala 37 lagi membabitkan 10,348 unit dalam pembinaan.

Karnival Kerjaya Selangor (Selangor Job Fair)

Selangor berusaha membantu rakyat memperoleh pekerjaan melalui inisiatif padanan kerjaya yang dijalankan. Sejak April, Karnival Jelajah JobCare Selangor menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan, termasuk jawatan bergaji sehingga RM5,000 sebulan.

Pemohon menghadiri proses temu duga sempena Karnival Kerjaya Jelajah Jobcare Selangor 2024 di Menara BAC, Petaling Jaya pada 17 JULAI 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Platform Selangor Kerjaya Job-Matching yang dibangunkan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pula merekod 48,346 pendaftaran dan 6,795 jawatan diisi melalui sistem padanan tersebut.

Selangor Mega Job Fair pula mempertemu pencari kerja dan majikan yang menarik 32,064 pengunjung antara tahun 2021 hingga 2023. Dalam tempoh sama, seramai 565 majikan mengambil bahagian dan menawarkan lebih 55,000 peluang pekerjaan.

Anak Istimewa Selangor

Jutaan ringgit dibelanja setiap tahun bagi meringankan beban keluarga kepada kanak-kanak istimewa atau orang kurang upaya (OKU). Bantuan itu merangkumi kos pendidikan seperti pusat terapi dan kelas khas (maksimum RM1,000), ubat-ubatan dan keperluan tambahan (maksimum RM1,200) serta pembelian atau pembaikan mesin perubatan (maksimum RM5,000).

Murid mengikuti sesi pembelajaran dalam kelas ketika tinjauan di Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS), Seksyen 7, Shah Alam pada 15 Januari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beberapa program percuma seperti kursus teknik asas komunikasi dan penjagaan buat ibu bapa yang ada anak kurang upaya kategori lumpuh otak turut dijalankan. Selangor berhasrat memperluas Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS) meliputi 12 pihak berkuasa tempatan bagi mengatasi kesesakan pelajar di pusat sedia ada.

Loji Janakuasa Pulau Indah (PIPP)

Setakat September 2025, loji itu menyalur bekalan elektrik kepada lebih 1.2 juta kediaman dan perniagaan di Lembah Klang. Ia adalah loji turbin gas kitaran gabungan (CCGT) paling moden di negara ini. Ia menjana lebih banyak tenaga dengan pelepasan lebih rendah selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Pembinaannya terarah kepada menamatkan kebergantungan arang batu selain memperluas tenaga boleh diperbaharui termasuk solar, hidro dan hidrogen.

PIPP dibina atas tanah tebus guna seluas 24 hektar bersebelahan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang. Loji itu disokong talian penghantaran elektrik baharu 500 kV dwilitar sepanjang 37 kilometer menghubungkan PIPP ke Pencawang Masuk Utama (PMU) Olak Lempit serta saluran paip gas sepanjang 42 kilometer menghubungkan Paip Gas Utama (PGU) Puchong ke loji.

Skim Hijrah Selangor

Usaha negeri untuk menambah pendapatan isi rumah dan menghapus kemiskinan diteruskan menerusi bantuan pembiayaan dan geran mikro kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). Pada 29 Januari, Yayasan Hijrah Selangor menawarkan RM60 juta bawah Skim i-Bisnes.

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor Nilammasri Jaafar (kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Azaddin Ngah Tasir dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor bergambar bersama peserta ketika Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 di Ballroom 1 Hotel De Palma Shah Alam pada 27 Oktober 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) untuk usahawan wanita pula memperuntuk RM5 juta untuk 500 penerima.

Bermula Ogos 2026, permohonan Dana Pantas bernilai RM13 juta untuk semua industri dan Dana Niaga Tani bernilai RM7 juta untuk sektor pertanian, perikanan, penternakan serta akuakultur.

Platform Selangor (PLATS)

Sebuah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan berkembang melalui latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran. Sepanjang tahun 2024, usahawan PLATS merekod transaksi jualan mencecah kira-kira RM15 juta hasil penglibatan aktif melalui pelbagai medium pemasaran dan saluran digital.

Usahawan U-Plats Digital dibekalkan satu set peranti Point of Sales Platform Selangor (POSPLATS) oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (MBI) di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Terbaharu, Transisi Kerjaya PLATS diperkenal dalam Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Dua bagi memberi peluang kepada individu hilang pekerjaan menceburi keusahawanan. Seramai 5,000 individu berusia 40 tahun ke atas yang hilang pekerjaan akibat konflik di Asia Barat akan dibantu. Mereka bakal menerima latihan dan kursus perniagaan, kem keusahawanan serta bantuan pembiayaan sehingga RM10,000 tanpa faedah.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.