KUALA SELANGOR, 11 JULAI: Gaji yang kompetitif, faedah pekerjaan serta prospek perkembangan kerjaya menjadi antara pertimbangan utama golongan muda dalam memilih pekerjaan, selain persekitaran dan lokasi tempat bekerja.
Bagi bakal graduan Universiti Malaysia Kelantan, Muhammad Faris Hamzah, 23, faktor lokasi dan suasana tempat kerja menjadi keutamaan ketika mencari pekerjaan selepas menamatkan latihan industri bulan lalu.
Graduan Ijazah Keusahawanan Peruncitan itu kini mencari peluang dalam bidang pemasaran, sumber manusia atau pentadbiran dengan sasaran gaji permulaan sekurang-kurangnya RM2,500.

“Faktor utama bagi saya ialah tempat dan persekitaran kerja. Saya harap lokasi kerja tidak terlalu jauh kerana kampung saya di Sekinchan.
“Untuk permulaan, saya menyasarkan gaji minimum RM2,500, namun saya juga sanggup bekerja di luar daerah,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kerjaya JobCare Selangor di Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), di sini hari ini.
Bagi Fikri Anwar Hairi, 26, pula, peluang mengembangkan kemahiran dan membina kerjaya jangka panjang lebih menjadi keutamaannya berbanding faktor lain.
Berlatarbelakangkan bidang reka bentuk grafik, beliau yang kini bekerja sedang mencari peluang dalam bidang pemasaran atau jualan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM2,500.

“Faktor utama saya ialah faedah yang ditawarkan. Saya mahu kerjaya yang memberi pengalaman dan nilai tambah untuk perkembangan diri serta kerjaya pada masa depan,” katanya.
Sementara itu, Hail Danish Fabil, 24, berkata gaji menjadi faktor utama dalam pemilihan pekerjaan dengan sasaran pendapatan melebihi RM2,500.

Beliau yang mencari pekerjaan sejak kira-kira dua bulan lalu selepas berhenti kerja berharap Karnival Kerjaya JobCare Selangor membuka lebih banyak peluang memperoleh tawaran yang lebih baik, khususnya dalam bidang jualan.
Kuala Selangor merupakan lokasi keempat Karnival Kerjaya JobCare Selangor tahun ini yang menyasarkan sehingga 40,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026, Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi menjayakan inisiatif itu sebagai usaha menangani pengangguran, selain memperkasa program berkenaan menerusi pensijilan dan pembangunan kemahiran.








