SHAH ALAM, 18 NOV: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menyediakan surat pengesahan status projek perumahan Morib Bay bagi membantu pembeli memohon penstrukturan semula pembiayaan atau pengurangan ansuran bulanan daripada pihak bank.
EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata inisiatif itu bertujuan meringankan beban pembeli projek perumahan sakit dan terbengkalai yang masih perlu menanggung komitmen pembiayaan meskipun rumah mereka belum dapat disiapkan.
Beliau berkata, pembeli juga boleh memohon surat sokongan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengukuhkan permohonan penstrukturan semula pembiayaan atau pengurangan ansuran bulanan kepada bank.
Menurutnya, surat pengesahan berkenaan boleh dikemukakan kepada institusi kewangan sebagai dokumen sokongan untuk memohon penstrukturan semula pinjaman atau pengurangan ansuran bulanan, tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan pihak bank.
“LPHS sentiasa mengambil perhatian terhadap kesulitan yang dihadapi pembeli projek perumahan sakit dan terbengkalai, khususnya mereka yang masih menanggung komitmen pembiayaan bank.
“Sehubungan itu, antara inisiatif utama LPHS adalah melalui pengeluaran surat pengesahan status projek kepada pembeli,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib, Rosnizan Ahmad mengenai bantuan khusus bagi meringankan beban pembeli Morib Bay pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Borhan berkata Permodalan Nasional Berhad (PNB) bersetuju memberi keutamaan kepada usaha memulihkan Fasa 1 projek itu yang membabitkan pembangunan rumah teres, susulan pemaju asal mengalami masalah sehingga gulung tikar.
Bagaimanapun, katanya, PNB masih meneliti beberapa aspek pelaksanaan bagi memastikan proses pemulihan berjalan teratur, termasuk kaedah perolehan dan pelantikan pihak yang akan terlibat.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan dengan teratur, mempunyai asas pelaksanaan yang kukuh dan mengelakkan sebarang isu atau komplikasi pada peringkat seterusnya.
“Sehubungan itu, proses penelitian dan penyelarasan ini dijangka mengambil sedikit masa sebelum kaedah pelaksanaan serta garis masa pemulihan dapat dimuktamadkan,” katanya.
Pada Jun lalu, Borhan memaklumkan Kerajaan Negeri meluluskan pelantikan pemaju baharu sebagai penyelamat bagi meneruskan pembangunan projek berkenaan selepas pemaju asal gulung tikar.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mencari penyelesaian terhadap isu projek berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 pembeli masih menunggu rumah masing-masing sejak 2020, selepas projek pangsapuri 17 tingkat itu gagal disiapkan mengikut jadual berikutan masalah yang dihadapi pemaju asal.







