
SHAH ALAM, 13 NOV: Bantuan kediaman diperkenalkan tahun depan dengan menyasarkan kerja baik pulih asas bagi golongan memerlukan dan kurang mampu berjumlah RM5,000 hingga RM10,000, bergantung kepada tahap kerosakan dan keperluan isi rumah.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebagai permulaan Bantuan Asas dan Ihsan Kediaman (BAIK Selangor) itu memanfaatkan 1,000 unit kediaman merangkumi kawasan bandar dan luar bandar.
Menurutnya, program akan digerakkan melalui Yayasan Mesra Selangor (YMS) dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri, pemaju perumahan serta sektor korporat melalui sumbangan dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Inisiatif baharu ini melibatkan anggaran keperluan dana mencecah RM10 juta. Pendekatan ini mencerminkan komitmen negeri untuk membangunkan ekosistem perumahan secara lebih menyeluruh.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja menyediakan rumah tetapi turut memastikan kediaman rakyat berada dalam keadaan selamat, selesa dan berdaya huni, selaras dengan aspirasi pembangunan bandar yang inklusif dan mampan,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2027 hari ini.
Amirudin berkata pihaknya turut memperuntuk RM3 juta bagi melaksanakan Program Bantuan Rumah Kita Selangor yang meliputi bantuan bina baharu dan baik pulih rumah daif serta tidak selamat dihuni.
Menurutnya, bantuan itu menumpukan aspek kediaman, selamat, selesa dan kondusif sebagai komponen penting dalam meningkatkan kesejahteraan hidup keluarga miskin.
“Selain membantu golongan miskin dan kurang berkemampuan di kampung tradisi, program ini turut memberi perhatian khusus kepada masyarakat Orang Asli.
“Daripada jumlah berkenaan, RM1 juta dikhususkan bagi memastikan komuniti terbabit hidup lebih selesa, sekali gus membantu dalam peningkatan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.









