Belanjawan Selangor 2027: EXCO cadang baik pulih hingga 1,000 rumah B40

12 Okt 2026, 12:00 PM
Belanjawan Selangor 2027: EXCO cadang baik pulih hingga 1,000 rumah B40
Belanjawan Selangor 2027: EXCO cadang baik pulih hingga 1,000 rumah B40
Belanjawan Selangor 2027: EXCO cadang baik pulih hingga 1,000 rumah B40

SHAH ALAM, 12 OKT: Program baik pulih sehingga 1,000 rumah golongan B40 di kawasan bandar dan luar bandar antara inisiatif yang dicadangkan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan Selangor 2027.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bagi membantu golongan berpendapatan rendah menikmati kediaman lebih selesa.

"Kita ada beberapa cadangan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, antaranya program baik pulih rumah B40 sama ada di bandar atau luar bandar.

"Kita sasarkan antara 500 hingga 1,000 unit bagi seluruh Selangor. Perinciannya akan dibuat selepas pembentangan belanjawan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Perumahan Kebangsaan yang menghimpunkan agensi perumahan dari lapan negeri di sini, hari ini.

Borhan berkata cadangan berkenaan meliputi seluruh Selangor tanpa mengehadkan pelaksanaannya kepada kawasan tertentu, dengan sasaran antara 500 hingga 1,000 kediaman.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, usaha itu diharap dapat membantu keluarga berpendapatan rendah membaik pulih rumah masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Borhan turut menyambut baik tumpuan Kerajaan Persekutuan terhadap sektor perumahan menerusi Belanjawan 2027, termasuk usaha memulihkan projek terbengkalai serta insentif kepada pembeli rumah.

Beliau berkata pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000, selain pengecualian penuh bagi RM500,000 pertama dan 50 peratus ke atas baki nilai bagi kediaman berharga sehingga RM750,000, dilihat mampu meringankan beban kewangan pembeli.

Menurutnya, pembeli rumah baharu lazimnya perlu menyediakan perbelanjaan tambahan bagi kerja pengubahsuaian dan pembelian kelengkapan kediaman.

"Bila mereka beli rumah baharu, sudah tentu memerlukan wang yang banyak untuk membuat pengubahsuaian atau membeli peralatan.

"Sebab itu di Selangor, menerusi Rumah Idaman dan Rumah Harapan, kita sediakan kelengkapan asas seperti penghawa dingin, televisyen, dapur dan kabinet untuk membantu pembeli," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.