
SUBANG JAYA, 20 NOV : Desakan golongan pesawah supaya isu kenaikan kos input pertanian ditangani adalah berasas berikutan peningkatan tersebut menjejaskan pendapatan dan kelangsungan hidup mereka.
Pensyarah Perniagaan Tani Universiti Putra Malaysia Dr Ahmad Hanis Izani Abdul Hadi berkata usaha menangani isu berkenaan juga demi menjaga kebajikan pesawah, malah berkait rapat dengan usaha memperkukuh pengeluaran beras tempatan.
“Desakan pesawah ini berasas. Sebelum harga lantai dinaikkan ke RM1,500 pada tahun lalu, pengilang sanggup juga beli pada harga tinggi walaupun harga lantai ketika itu hanya RM1,200.
“Tetapi apabila kerajaan mula tetapkan harga siling beras, perkara ini seperti mencengkam industri. Pada pandangan saya, setakat kita naikkan harga lantai tetapi harga siling dikekalkan, ia tidak membantu pesawah,” katanya kepada Media Selangor.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilapor akan mengkaji kaedah terbaik untuk menggalakkan pengeluaran padi dan beras tempatan.
Kajian itu akan diperinci melalui libat urus bersama pesawah, pengilang dan pemain industri lantaran ada permintaan untuk kerajaan melihat semua harga kawalan beras putih tempatan (BPT) yang tidak pernah disemak sejak 2008.

Harga siling semasa yang ditetapkan bagi BPT adalah RM2.60 sekilogram berbanding beras import iaitu RM4.30 sekilogram.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Hanis Izani mencadangkan, harga beras diapungkan bagi membantu meningkatkan pendapatan pesawah dan hasil jualan pengeluaran beras tempatan negara di samping kerajaan mengambil tindakan yang lebih berkesan serta menyeluruh.
“Kita boleh apungkan harga beras. Sejak kebelakangan ini, kebanyakan kita hanya membeli beras import kerana hanya beras import yang banyak di pasaran. Jadi, kita apungkan harga beras tempatan, saya fikir itu lebih rasional,” katanya.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbang pemberian subsidi kepada pesawah berdasarkan output atau hasil yang diperoleh golongan berkenaan.
Ini kerana, katanya, kerajaan tidak boleh menamatkan pemberian subsidi tetapi pada masa sama ia perlu dipertimbangkan bagi memastikan komitmen kewangan kerajaan kekal utuh.
“Kalau mahu beri bantuan insentif atau subsidi, ia harus berdasarkan output atau hasil pesawah. Siapa yang produktif, akan terima insentif lebih. Ini lebih membantu pesawah yang mempunyai jiwa keusahawanan,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2027, kerajaan menyediakan bantuan untuk pesawah sebanyak RM2.62 bilion, dengan setiap hektar sawah akan menikmati sekitar RM4,300 meliputi subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar insentif penuaian padi juga ditingkatkan kepada RM100 sehektar semusim berbanding RM50 sebelum ini.








