
SHAH ALAM, 19 NOV: Pemaju pembangunan sekitar Bandar Puncak Alam disyarat membuat kerja menaik taraf jalan bagi memastikan pertumbuhan perumahan baharu seiring keupayaan infrastruktur sedia ada.
Menurut EXCO infrastruktur, pemaju yang terlibat antaranya Kamudi Ehsan Sdn Bhd, Paragon Pinnacle Sdn Bhd, Worldwide Properties Management Sdn Bhd dan Tropicana Alam Sdn Bhd.
Dato’ Ir Izham Hashim memberitahu kerja naik taraf beberapa laluan berkenaan yang dijalankan berdasarkan syarat kelulusan kebenaran merancang dijangka siap pada September 2027.
"Biasanya apabila pemaju kemuka permohonan pembangunan, kita memang syaratkan jalan-jalan ini diperbesar atau dinaik taraf. Bagaimanapun, pelaksanaannya kadangkala mengambil sedikit masa.
"Hal ini kerana ada pembangunan yang masih belum bermula menyebabkan kerja naik taraf yang disyaratkan itu belum dapat dilaksanakan," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata kelewatan turut berlaku apabila pemaju perlu menyalur sumbangan kewangan ke tabung yang diuruskan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi membiayai kerja naik taraf berkenaan.
Katanya, Kerajaan Selangor dalam keadaan tertentu mendahulukan peruntukan bagi memastikan kerja itu dapat dijalankan sebelum mendapatkan semula sumbangan daripada pemaju terlibat.
Ir Izham memberitahu ada perancangan untuk membina jejambat di beberapa persimpangan sekitar Puncak Alam mulai 2028 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
"Untuk mengelakkan kesesakan, kita terpaksa meneliti beberapa lokasi yang sesuai untuk menggantikan lampu isyarat dengan 'flyover' (jejambat).
"Kita bersedia dan syarat itu turut dikenakan kepada beberapa pemaju. Pelaksanaan dijangka bermula pada 2028," katanya.








