
KUALA SELANGOR, 20 NOV: Peningkatan kos pengurusan sawah saban tahun meresahkan pengusaha padi susulan pulangan jumlah tuaian yang rendah dan tidak setimpal hingga menyebabkan petani gulung tikar atau beralih ke bidang tanaman lain.
Ketua Unit Sawah Sempadan Selatan, Tanjung Karang, Saipol Bahri Sahlan berkata pelarasan harga lantai belian padi kepada RM1,500 bagi satu tan metrik pada tahun lalu, berbanding RM1,300 sebelum ini langsung tidak membantu mengurangkan kos pengeluaran padi.

“Kos input sekarang amat tinggi, dan apabila kos tinggi, pendapatan kami jadi rendah. Sebagai contoh, racun serangga setiap fasa tanaman berbeza. Itu belum kira (kenaikan) harga baja lagi.
“Kenaikan ini sudah berlaku sejak 2000, dia (kos input) semakin naik dan tidak turun-turun. Tetapi harga padi pandai pula turun naik, sedangkan harga racun semua terus naik,” katanya kepada Media Selangor.
Sekalipun berdepan cabaran berkenaan, industri padi di Selangor kekal penting dalam rancangan keterjaminan makanan negara apabila mencatatkan kadar kebolehpasaran hasil sebanyak 99.4 peratus pada 2024, tertinggi di Malaysia.
Saipol Bahri yang mengerjakan sawah lebih 30 tahun berkata, beliau terpaksa membelanjakan kira-kira RM45,000 untuk satu musim bagi tanaman padi seluas empat hektar.
Walaupun hasil padinya tidak merosot, beliau berkata, pulangan untung bersih yang diterima menurun kira-kira RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap lot berbanding RM3,000 pada lima tahun sebelum ini.
Bagi pesawah, Zakaria Ahmad, 58, beliau terpaksa bekerja sambilan dengan mengambil upah mengendalikan jentera sawah bagi menampung kos sara hidup keluarganya akibat kemerosotan pendapatan.

Beliau menjelaskan inisiatif yang dilaksana sejak beberapa tahun lalu selepas kos input padi meningkat tidak menunjukkan penurunan atau penyelesaian menyeluruh.
“Kalau saya tidak berbuat apa-apa, saya akan muflis. Jadi apa yang saya buat adalah saya membeli jentera padi dan ambil upah di kawasan sawah yang memerlukan khidmat saya.
“Saya tidak boleh berhenti sebagai pesawah atau jual tanah padi saya kerana ini adalah pekerjaan saya sejak muda. Jadi saya perlu buat sesuatu agar saya tetap ada pendapatan,” katanya.
Zakaria berkata kerajaan seharusnya melihat isu kenaikan input padi ini sebagai isu utama negara bagi memastikan kelangsungan sektor padi sekali gus memastikan bekalan beras negara kekal stabil.
“Kerajaan perlu kaji semula dan lihat kenaikan input ini dari setiap aspek. Memang kami juga terima subsidi, tetapi adakah subsidi itu benar-benar sampai kepada pesawah?,” katanya lagi.









